Followers, thanks

Followers

Kandungan PM

Bab 1: Wulan: Aini Melati @ Wulan... Aku adalah Wulan. (penamat di tempat yang sama)
Bab 2:BakriKameel b.Badrulhisyam...Aku adalah Kameel.(Penamat di tempat yang sama)
Bab 3:Zara Orkhid Bt Desa..Aku adalah Zara
(Penamat di tempat yang sama)
Bab 4:Dunia Derita (sambungan di penamat yang sama)
Bab 5;Seindah Pertemuan.
Bab 6:Bulan yang tercalar
Bab 7:Bulan yang terus berdarah.
Bab 8:Bulan yang tersenyum.
Bab 9:Gemilau Cahaya Bulan.
Bab 10: Rembulan Cinta

Thanks for visiting...

Blog Nora Fuad

Blog Nora Fuad
Blog Nora Fuad, sila klik. Tq

About Me

My photo
pernah belajar mass com, edu...older of 4 siblings.Married to Fuad Halimi.Ex teacher to MGS Klang,MGS KL,SMK Tunku Putra,Langkawi. Ex Student SMK Sultanah Bahiyah,SMK Mahsuri Langkawi,UKM dan UM.

Novel pertama Okt 2010

Novel pertama Okt 2010
NOVEL PERTAMA OKT 2010... Link info novel, sila klik gambar.TQ

NOVEL KE 2

NOVEL KE 2
NOVEL KE2, FEB 2011, Info sila klik di gambar. TQ

Tuesday, August 9, 2011

Bab 4: petikan 1


BAB 4 : DUNIA DERITA
1
Kameel berasa serba salah terpaksa meninggalkan isterinya, Aini Melati @ Wulan takkala dia masih terlantar di wad di hospital sehari dua lagi. Pun dia akur, sebagai CEO sebuah syarikat yang mempunyai lebih 100 orang staff, dia tahu banyak sekali impian individu-individu yang bergantung harapan dengannya. Keupayaan dia mengasingkan masalah emosi bakal memberi keuntungan ekonomi kepada syarikat, sekaligus dan akan memberi hasil yang positif untuk pekerja. Keuntungan syarikat dan perniagaan memberi banyak peluang ekonomi kepada kakitangan lainnya.
Dia harus berani menempatkan keperluan syarikat, walaupun terpaksa mengorbankan masanya untuk keluarga. Dia harus meninggalkan keluarga dalam menguruskan perjanjian antara syarikatnya dengan sebuah syarikat di Perth, dalam membekalkan daging segar ke Malaysia.
Terbayang wajah Wulan yang sedang lena tidur. Wajah bujur sireh, dengan kening lebat tu bagai bermimpi pahit, dengan kerutan di dahi ketika tidur. Agaknya, realiti mimpi yang bagaimanakah sedang dia alami?
Masih dia terasa bagaimana jantungnya berirama kencang dua malam lepas, menyaksikan Wulan terbaring di hadapan pintu kamar beradu mereka. Ritma jantungnya seolah-olah berpalu dengan irama rock yang kuat. Peristiwa itu masih terbayang di hadapan matanya.
“Wulan, Wulan,” berulang dia memanggil nama isterinya. Kelopak mata Wulan terus tertutup rapat. Fikirannya segera berfikir secara rasional, segera dia mendukung Wulan ke paras bawah rumah dengan berhati-hati. Dia meletakkan isterinya dengan perlahan, ke atas sofa kulit berwarna kuning lembut. Telefon genggamnya segera didail, mendapatkan adiknya Hani. Dia mengharapkan agar Hani tidak keluar ‘terbang’ ke mana-mana. Bertugas sebagai pramugari sambilan, menjadikan dia kebiasaannya tidak ‘terbang’ setiap hari. Jadual penerbangan Hani bergantung kepada berapa kerap dia mahu meneruskan penerbangannya bagi setiap shif sendiri. Jam rolex di tangannya, dipandang perlahan. Jarum pendek jam sudah menunjukkan hampir kepada waktu menghampiri tengah malam.
Kedengaran suara Hani di hujung gagang.
“Hani, abang ni. Kak Wulan pengsan di bilik. Abang nak bawa ke hospital. Please come to my house.” Suara Kameel kedengaran resah sekali. Tidak pernah Wulan mengalami kesulitan kesihatan sehingga mendesak sebegini. Dia juga bimbang meninggalkan keluarganya terutama ibunya hanya bersama Sumarni.
Kameel segera membawa isterinya ke hospital berdekatan. Dia tidak berani membangunkan Sumarni. Dibimbangi ibunya juga akan terjaga dan akan membangkitkan suasana panik kepada mereka semua. Dia percaya, adiknya, Hani akan datang dalam jangkamasa kurang limabelas minit dan akan menguruskan anak-anaknya di rumah, seterusnya ke sekolah, malah ke hospital sekiranya perlu.
Kata-kata doktor, seolah menyentap jantungnya sekali lagi.
“Isteri encik Kameel sebenarnya mengandung. “
Perkataan doktor tadi menyedapkan perasaannya. Kemungkinan, situasinya yang hamil itu menjadikannya tidak sedarkan diri secara tiba-tiba.
“Kandungan Puan Aini ini,  digelar sebagai kandungan ektopik.” Perkataan pengakhiran ini, tidak dia fahami. Wajah doktor wanita yang dalam lingkungan dua puluhan, ditatap lagi. Tag nama yang dilekatkan di ‘kot putih’ doktor itu dibacanya dalam hati perlahan. Bertulis Dr Suhaiza. Barangkali, wajahnya lebih menampakkan dia dimonopoli oleh figura berketurunan Thionghua, tetapi dengan matanya yang bermata galak, mungkin mempunyai campuran darah bangsa lain dalam setiap urat sarafnya.
Doktor wanita yang masih muda itu, barangkali dalam pertengahan usia dua puluhan agaknya memahami sorot pandangan mata Kameel yang tajam. Kameel tidak memahami maksud kandungan  ektopik  barangkali.
“Boleh doktor terangkan apa maksud kandungan ektopik?” Kameel berterus-terang setelah melihat Dr Suhaiza hanya membisu mengenai Kandungan ektopik yang dialami Wulan.
“Kandungan ektopik bermakna, kandungan itu tidak terjadi di tempat yang sepatutnya.  Embrio melekat atau implantasi dan membesar di luar kawasan dalam ruang rahim. Dalam kes ini, ianya berlaku di saluran fallopian kiri Puan Aini. Apabila ia mula membesar, saluran itu akan mulai membengkak dan akan menyebabkan kesakitan. Tiada cara lain yang boleh kami lakukan Encik Kameel melainkan pembedahan dan terpaksa menutup saluran fallopian kiri Puan Aini.”
“Menutup saluran fallopian?”
“Ya. Prosedur ini kami namakan sebagai Prosedur salpingectomy iaitu saluran fallopian yang tersumbat dan membengkak itu terpaksa dibuang bagi mengelakkan ianya membengkak dan menyakitkan pesakit. Lagipun kandungan ektopik ini tidak akan mendatangkan keuntungan kepada pesakit. Lama-kelamaan saluran falopian ini akan membengkak dan akan pecah begitu sahaja. Saluran ini tidak akan dapat menampung membesaran fetus yang berlaku di situ.”
Kameel agak tergamam mendengar penjelasan Dr Suhaiza. Dia tidak pula pernah menduga yang isterinya hamil. Dalam benaknya berkata sendirian, “Mengapa pula Wulan merahsiakan kehamilannya?”  Mungkin dia tidak sedar dia mengandung? Atau aku yang barangkali tidak memberi dia masa untuk berterus-terang? Kameel segera berfikir tentang hubungan komunikasinya bersama Wulan. Masa mereka bersama agak terbatas. Dia terlalu sibuk dengan dunia perniagaannya sahaja. Dia terlalu sibuk dalam memburu cinta Yang Mira! Dia terlalu sibuk untuk menjadi si pungguk! Dia terlalu sibuk dalam memburu bulan yang biru!
Kameel segera mengangguk setelah mendengar penjelasan doktor itu tadi. Kameel diminta duduk sebentar di kerusi bersebelahan katil Wulan sementara menunggu untuk menantangani borang membenarkan pembedahan dilakukan kepada isterinya. Kebiasaannya pesakit akan menandatangi borang tersebut sendiri jika mereka boleh melakukannya sendiri. Memandangkan Wulan masih lagi dalam keadaan tidak sedarkan diri, Kameel sebagai waris terdekat akan menandatangi keizinan bagi pihak isterinya.
Pintu bilik seperti diketuk, Kameel mengangkat wajahnya memandang ke arah pintu. Seorang doktor perempuan muda, bertudung merah jambu segera masuk ke bilik Wulan.
“Assalamualaikum, saya Dr Amy Hezrin yang akan melakukan pembedahan ke atas Puan Aini. Dijadualkan dalam masa dua jam lagi. Encik Kameel perlu menandatangani borang pembedahan ini.”
Kameel difahamkan kehamilan ektopik merupakan situasi yang agak membahaya jika dibiarkan, kerana bukan sahaja kehamilan ini berlaku di tempat yang ‘salah’ malah pesakit akan mengalami kesakitan di bahagian perut atau pinggang berulang kali sehingga boleh membawa kepada masalah pitam atau tidak sedarkan diri. Dia segera menandatangani borang yang diberikan oleh Dr Amy tadi.
Segera dia mendail nombor pejabatnya, setiausahanya patut diberitahu perihal yang berlaku kepada Wulan@ Aini Melati. Sekurangnya segala urusan yang berkait pejabat akan dapat diuruskan oleh rakan kongsinya, Faiq Hilman.
“Lia, Kameel di sini. Kak Wulan di hospital. Tolong beritahu Encik Hilman agar uruskan mesyuarat pagi ini. Saya sudah telefon dia malam tadi. Takut dia terlupa saja. Tapi urusan ke Australia tu dua hari lagi tu, I akan uruskan.”
“Okay bos. Encik Hilman ada beritahu tadi. Puan Aini dah jalani operasi ke belum?”
Jantung Kameel agak bergetar mendengar perkataan ‘operasi’. Kali terakhir Wulan menjalani pembedahan adalah lapan tahun lepas, bagi melahirkan Nina yang sudah pun menjangkau lapan tahun usianya. Dia mengharapkan urusan pembedahan ini akan berjalan lancar  seperti mana pembedahan sebelumnya.
“Belum lagi Lia. Mungkin sejam dua. Hari ini saya akan tunggu, selepas ni saya akan minta Hani menunggu Aini di sini.” Kameel menerangkan lambat-lambat kepada Amelia, setiausahanya.
“Ambillah cuti bos. Puan Aini kan isteri bos. Kalau bos cuti sehari dua pun tidak mengapa. Pastikan dulu Puan Aini okay. Kalau mahu minta Encik Hilman ke Australia pun, saya kira okay juga.” Kata-kata setiausahanya, Amelia, memang masuk akal juga. Dia kan CEO pejabatnya sendiri, tentulah dia boleh mengambil cuti sebanyak mana yang diperlukan. Tetapi menolak peluang atau menggantikan orang lain untuk ke Australia, sesuatu yang tidak boleh digalang-gantikan. Hanya ini peluang Kameel untuk bertemu Jamilah, itu pun jika Jamilah bersedia untuk bertemu dengannya.
“Terima kasih atas keperihatinan awak,  Lia. Saya akan cuti hari ini. Insya-Allah, esok saya akan masuk pejabat. Lagipun pembedahan hari ini, esok dan lusa, Aini akan berehat saja. Lepas tu, dia akan balik ke rumah. Kalau ada apa-apa yang penting, telefonlah saya.”
“Okay Encik Kameel. Jadi saya perlu sediakan dokumen untuk dibawa ke Perth nanti?”  Perkataan Perth daripada bibir Lia seolah mengembalikan nostalgia kepada Kameel. Perth seolah mengubat luka dan parut lama antara dia dan Jamilah.
“Ya. Sediakan dokumen tu. Nanti saya akan minta Encik Hilman menghantar ke hospital ni. Saya akan tunggu sehingga petang nanti. Malam ini saya akan minta Hani menunggu Aini di sini.”
“Hmm bos, nak saya hantarkan bunga dari pejabat?” Soalan Amelia seolah menggigit hujung telinga Kameel.
“Bunga?  Tak payahlah. Hantar kad dan buah-buahan, bolehlah. Bunga tak begitu praktikal, tak boleh makan pun.” Kameel menggeleng kepalanya perlahan. Nasib baik Amelia bertanya dulu, kalau dihantarnya sejampak bunga ke hospital ini, bukankah membazir namanya. Sejambak bunga akan hanya kelihatan menarik untuk ditonton dan dihidu. Buah-buahan bukan sahaja nampak cantik bagi santapan mata bahkan juga sedap menjadi santapan pesakit.
“Okay. Ialah bos. Salam untuk Puan Aini ya. Kalau senang nanti, esok petang, saya akan melawat Puan Aini.” Lia menghulurkan perkataan yang menunjukkan simpatinya kepada isteri Ceonya. Dia simpati sekali akan nasib yang kurang baik yang berlaku kepada isteri Kameel, Wulan yang dikenali rapat sekali. Wulan bukan sahaja seorang isteri yang baik, malah sangat merendah diri dan prihatin sekali akan nasib semua pekerja di pejabat Kameel.
“Insya-Allah. Saya pun tak pasti bila dia akan sedar kembali. Mungkin, esok pagi atau tengah hari.” Kameel menyudahkan ayatnya.
Butang penamat ditekan perlahan. Kameel menyorot pandangan matanya melihat katil yang membawa Wulan ditolak menuju ke lorong di hadapannya, barangkali menuju ke bilik pembedahan. Dia memandang sayu sambil tersenyum kepada dua orang jururawat yang membawa isterinya. Dalam hatinya dia berdoa terus, “Ya Allah, selamatkanlah Wulan, isteriku. Kami masih memerlukan dia dalam hidup kami. Aku masih memerlukan dia dalam hidupku, hidup anak-anak kami.”

No comments:

Post a Comment