Followers, thanks

Followers

Kandungan PM

Bab 1: Wulan: Aini Melati @ Wulan... Aku adalah Wulan. (penamat di tempat yang sama)
Bab 2:BakriKameel b.Badrulhisyam...Aku adalah Kameel.(Penamat di tempat yang sama)
Bab 3:Zara Orkhid Bt Desa..Aku adalah Zara
(Penamat di tempat yang sama)
Bab 4:Dunia Derita (sambungan di penamat yang sama)
Bab 5;Seindah Pertemuan.
Bab 6:Bulan yang tercalar
Bab 7:Bulan yang terus berdarah.
Bab 8:Bulan yang tersenyum.
Bab 9:Gemilau Cahaya Bulan.
Bab 10: Rembulan Cinta

Thanks for visiting...

Blog Nora Fuad

Blog Nora Fuad
Blog Nora Fuad, sila klik. Tq

About Me

My photo
pernah belajar mass com, edu...older of 4 siblings.Married to Fuad Halimi.Ex teacher to MGS Klang,MGS KL,SMK Tunku Putra,Langkawi. Ex Student SMK Sultanah Bahiyah,SMK Mahsuri Langkawi,UKM dan UM.

Novel pertama Okt 2010

Novel pertama Okt 2010
NOVEL PERTAMA OKT 2010... Link info novel, sila klik gambar.TQ

NOVEL KE 2

NOVEL KE 2
NOVEL KE2, FEB 2011, Info sila klik di gambar. TQ

Tuesday, July 19, 2011

Ranking Purnama Merindu!

Saya terbaca di wall BUKU PRIMA, novel terbaru saya PURNAMA MERINDU berada di tangga ke 5 (TOP 10) Terkejut, teruja dan bersyukur pada masa yang sama. Tidaklah mahu menyimpan hasrat yang besar sangat, maklumlah, di buku prima, sudah ramai penulis2 yang bagus-bagus, apatah lagi, saya hanyalah seorang PENULIS BARU di sana. (kedua-dua buah buku saya sebelum ini diterbitkan di KARNADYA) Jadi, dalam hati atau minda, tiadalah mahu menyimpan cita-cita atau hasrat besar. Barangkali kalau boleh berada di ranking bernombor 10 pun, sudah sangat bersyukur sangat!

   No 5: NOT BAD AT ALL.. Alhamdulillah. Kebanyakkan kedai buku belum mempunyai stok jualan lagi. Mungkin pada minggu ini akan meninjau lagi! Minggu lepas, novel belum masuk ke kedai buku lagi. Semoga novel akan terus laris di toko-toko buku!

Thursday, July 14, 2011

Dapatkan Purnama Merindu di PWTC sempena Tilawah al Quran...


  Khabarnya Purnama Merindu sudah memasuki kedai-kedai MPH atau POPULAR.. Saya belum bertemu dengan PM di MPH atau pun POPULAR, mungkin dua tiga hari lagi. Buku Prima akan menjual buku2 keluaran mereka di PWTC.

  Di jalan TAR (JHalan Tunku Abdul Rahman) Minerva dan rangkaian kedai buku di sana akn menjual novel2 dengan potongan 20%.

Monday, July 4, 2011

Akhirnya saya mendapat edisi saya...

  PURNAMA MERINDU YANG JUGA DIBERIKAN PENANDA BUKU YANG CANTIK.


Saya agak sibuk bagi menyambut Hari Sukan sekolah yang bakal menjelang pada 7 Julai 2011, apatah lagi dalam celah-celah kesibukan itu, demam pulak. Tiada masa ke Karangkraf bagi mendapatkan edisi saya. Jadi, mahu tak mahu, saya ke Shah Alam semalam, 3 Julai 2011 dan membeli dua naskah novel, satu untuk saya dan sebuah lagi untuk Farhana yang asyik bertanya naskah untuknya.. he he

Friday, July 1, 2011

Bab 2, petikan 1


BAB 2 : BAKRI KAMEEL BIN BADRULHISYAM. (aku adalah suami, kekasih yang entah masih menyintai wanita yang lain, memuja, memuji, dia yang tiada di hadapan mata...)
1
Lagu I’m a Millionaire, nyanyian… berkumandang rancak melalui stereo dalam kereta BMW X3  milikku.
Oh every time I close my eyes
I see my name in shining lights
A different city every night oh
I swear the world better prepare
for when I’m a billionaire...
       Ah! Siapa yang tidak mahu menjadi jutawan. Pastinya setiap orang yang hidup, pasti dalam hatinya berangan-angan untuk menjadi jutawan. Aku juga begitu. Alhamdulillah, sekarang ini aku bolehlah dikategorikan sebagai ‘Mini Jutawan’. Dengan nilai keuntungan syarikat melebihi jutaan ringgit setiap tahun, aku bersyukur dengan limpahan rezeki kurniaan Allah.
                Aku perhatikan pemanduku, Pak Ahmad yang biasanya kupanggil Pak Mat memegang stereng dengan berhati-hati. Cuaca yang tidak menentu, kekadang hujan renyai menjadikankan keadaan jalanraya yang sedikit licin dan becak. Seandainya kurang berhati-hati, kadangkala malang tidak berbau. Pandangan matanya kuperhatikan terus menatap cermin hadapan dalam situasi pagi yang semain cerah tetapi sedikit berkabus. Titik-titik hujan yang melampai mesra di cermin hadapan nampaknya tidak mengganggu penglihatan Pak Mat. Aku tersenyum sendiri, padanlah arwah ayah menggelarkan Pak Mat dengan nama ‘Pak Mat Cool.’
“Lama nanti Kameel di Jakarta?”
“Dua hari saja Pak Mat, kenapa?”
“Saja bertanya. Nanti bila pulak saya nak ambil Kameel.”
“Macam biasa Pak Mat. Saya akan telefon Pak Mat beberapa jam sebelum ambil saya.” Pelik pulak soalan Pak Mat ini. Macam tidak biasa, berurusan denganku. Bukankah pasti setiap bulan aku akan ke Jakarta, kadangkala, sehingga dua-tiga kali sebulan.
         Aku menyemak dokumen perniagaan lagi Harapanku, lobi kami bagi mendapatkan pasaran baranganku ke Jakarta akhir-akhir ini dan plan bagi mendapatkan rakan kongsi di Indonesia akan menjadi kali ini. Besar maknanya kalau kami dapat meluaskan peluang perniagaan dan usahasama bersama rakan kongsi baru di Indonesia ini akan berhasil. Walaupun bagi sesetengah orang, urusniaga di Indonesia agak kurang stabil kerana keadaan bencana alamnya seperti letusan gunung berapi, Tsunami, tetapi bagi sesetengah kawasan seperti Jakarta, urusan perdagangan dan urusniaga tidaklah terjejas. Malah kepadatan penduduknya memberi satu kelebihan dalam perdagangan. Sekiranya pandai menjadi peluang, implikasi negatif kepada individu yang lain, boleh menjadi peluang postitif kepada individu yang lain juga. Mungkin dalam bulan hadapan, aku dan rakan kongsi perniagaanku akan meluaskan pasaran barangan dan syer kami ke Vietnam, mahupun Laos serta Filipina pula.
          Negara ASEAN sepatutnya menjadi potensi pasaran yang luas sebelum memulakan pasaran ke peringkat antarabangsa atau global pula. ASEAN dan kemudian Australia, dan Eropah. Siapakan tahu, ianya pasti bakal berlaku?
Sekeping gambar keluargaku, gambar Aini, Ris dan Nina yang terselit dalam poket beg sandang yang aku bawa seolah menjadi penguat semangat dan jati diriku. Semuanya, jerit perit dan susah payahku ini, aku lakukan demi mereka. Aku mahu berikan mereka kehidupan paling selesa. Jika beberapa tahun dahulu, aku mampu melanjutkan pelajaran sehingga ke luar negara, ke Perth, Australia dengan biayaan penuh oleh ibubapaku sahaja, mengapa pula anak-anakku, Ris dan Nina tidak akan dapat peluang yang sama. Malah aku bercita-cita menghantar Ris, Nina dan isteriku Wulan bersama menemani ketika anak-anak gadisku belajar ke luar negara. Agak lebih selamat jika terdapat orang dewasa bersama mereka. Aku bimbang jika nasib mereka akan terjadi sepertiku, young and wild. Satu sejarah lama ketika satu masa dahulu.
Hujan yang renyai-renyai seolah-olah tidak mahu berhenti lagi. Hujan yang turun bagai mengerti kesunyian yang aku berjaya lindungi dalam pencarianku mencari dia. Hanya dia! Kulihat jam di tangan kiriku, nampaknya ada beberapa jam lagi masa sebelum tiba tempohnya aku perlu berada di lapangan terbang. Sengaja aku keluar di pagi hari supaya, aku lebih dapat menumpukan perhatianku dengan meneliti dokumen perniagaan dan bertenang.
“Pak Mat, berhenti di perhentian ya. Kita minum dulu.” Masih ada masa jika aku mahu berhenti minum untuk satu jam. Barangkali boleh makan roti canai yang enak di perhentian. Dibandingkan dengan makanan di lapangan terbang, kadangkala harga yang lebih mahal tetapi tidak mencerminkan rasanya yang lebih enak.
“Sempat ke kita nak ke KLIA nanti?”
“Sempat Pak Mat. Jangan risau. Sengaja saya keluar lebih awal. Saya bimbang jalan mungkin jem tadi, lagipun hujan renyai. Biasanya kalau hujan, kenderaan pun perlahan sedikit. Saya pun bimbang juga, kalau hujan makin lebat. Lagilah jem dan lambat pula. Nampaknya tak banyak pula kenderaan hari ni, jalan pun okay saja.”
“Itulah Kameel, jalan ni, tak boleh diramal. Kadang kita fikir okay, rupanya tak okay. Sesak, jem dan macam-macam. Bila fikir tak okay, rupanya tak sesak pula.” Pak Mat menyudahkan ayatnya dengan ketawa kecil. Aku pun tergelak sama.
“Begitulah Pak Mat, namanya kehidupan. Kita pun tidak dapat meramal segalanya walaupun kadangkala semuanya seolah terhampar di hadapan mata kita.”
“Betul tu Kameel. Allah sahaja yang mengetahui perjalanan yang tertulis untuk kita. Qada dan qadar Allah.”
Segera kami mendapatkan sebuah meja yang kelihatannya sudah dibersihkan oleh pekerja servis lebuhraya. Segera aku memesan roti telur dan dua gelas teh tarik yang kurang manis.
“Pak Mat nak apa-apa lagi?”
“Cukuplah Kameel. Sudah cukup kenyang ni. Lagi pun Pak Mat sudah sarapan di rumah tadi.”
“Awalnya Pak Mat sarapan. Saya belum sempat minum pun.”
“Wulan tak sempat buat air untuk minum?”
“Saya yang tak beritahu dia yang saya akan keluar awal pagi. Selepas sembahyang subuh tadi, kami bersalaman saja. Lepas tu, saya sudah menunggu Pak Mat datang.” Menerangkan kepada Pak Mat. Bukan salah Wulan sebenarnya, jika dia tidak sempat menyediakan segelas pun air minuman untuk suaminya. Salah aku sepenuhnya. Salah komunikasi! Aku yang tidak menyatakan kepadanya bahawa aku akan bergegas keluar pada subuh hari.
“Nanti, Pak Mat tengok-tengokkan juga rumah saya ya. maklumlah, keluarga saya semuanya perempuan dalam rumah tu.” Sempat aku memesan Pak Mat agar turut meninjau keselamatan isteriku, ibu dan anak-anakku di rumah sepeninggalanku.
“Rasanya kawasan tu cukup selamat Kameel. Ada jaga, sesekali ada juga polis meronda di kawasan tu.” Aku memandang Pak Mat yang berkata dengan yakin. Segera aku mengangguk mengiyakan pendirian Pak Mat.
“Yalah Pak Mat. Selama ni pun kawasan tu cukup selamat.”
Wajah Pak Mat nampaknya tenang, matanya kelihatan dalam, hidungnya terletak dengan sempurna sekali, kening yang rapat memperlihatkan air mukanya yang peramah dan pemurah senyuman. Bibirnya sentiasa tersenyum, biarpun dalam keadaan yang kelam kabut. Pernah satu ketika, hujan sebegitu lebat, dia terpaksa memandu perlahan, kerana cermin hadapan kereta kelihatan kelam dan berkabus. Daripada cermin tengah kereta, aku perhatikan dia tersenyum dalam tenang, mana mungkin dia setenang itu dalam keadaan yang haru biru! Bibirnya kelihatan mengucapkan zihir secara perlahan. Barangkali banyak sekali amalan keagamaan dalam hidup Pak Mat yang menjadikan dia tenang, sebening air kali yang dingin di pagi hari.
“Kata-kata Kameel mengingatkan saya kepada Tuan Haji, ayah Kameel.” Kata-kata Pak Mat seolah menarik perhatianku kali ini. Aku meletakkan cawanku semula ke meja kami, lantas menyambung dengan soalanku, “Kenapa dengan ayah saya Pak Mat?”
“Tuan Haji sangat penyabar dan yakin orangnya. Katanya, kalau kita berfikiran positif, segalanya akan menjadi positif seperti yang kita fikirkan. Sebab itu, pesan Tuan Haji, kita tidak perlu bimbang. Serahkan segalanya kepada Allah, kita akan selamat. Bukankah kita sentiasa dalam perlindunganNya?” Penerangan Pak Mat ada benarnya. Ayahku, Haji Badrulhisyam adalah seorang yang penyabar orangnya. Cuma kemahuannya sukar  ditolak, kerana setiap cadangan-cadangan atau ideanya merupakan idea yang bernas. Mungkin sifatnya itulah yang banyak membentuk diriku sekarang.
“Ya lah Pak Mat. Sejak ayah tiada, saya rasa satu kehilangan besar dari hidup kami. Terutamanya apabila mak saya sakit Alzheimer ketika ini. Mak seolah hilang semangat, setelah ayah saya ‘pergi’, sebab itu lah, penyakitnya semakin teruk.”
“Bersabarlah Kameel. Itu cara Allah menduga kita. Masaalah, penyakit dan kesulitan adalah kunci kepada kekuatan iman. Kameel beruntung mempunyai isteri yang penyabar seperti Wulan.”
Menyebut tentang Wulan, tentunya aku amat menyanjungi isteriku. Membayangkan diriku tanpa dia, tentulah kehidupanku bertambah buruk dengan ujian kepada ibuku searang. “Ialah Pak Mat.  Saya tidak fikir ada wanita lain yang boleh menjaga mak saya dengan baik sebegitu.” Aku lahirkan pujian kepada Wulan kepada Pak Mat. Kulihat Pak Mat mengangguk bersetuju. Dan aku amat beruntung, Aini Melati@Wulan, isteriku hanya bersetuju akan semua idea serta menerima dengan seratus peratus untuk berkompromi dengan impian dan kemahuanku. Belum pernah sekalipun, aku mendengar dia membantah hatta menyatakan pendapatnya setiap kali aku mengajukan pandanganku terhadap sesuatu.
          Bermula dengan idea berbulan madu seperti yang dicadangkan dengan ayahku sehinggalah dekorasi rumahku sekarang. Cuma berkaitan soal memberi nama anak-anak, aku serahkan sepenuhnya kepada Aini. Maklumlah, melihat kepada kepayahan dia membawa perutnya selama lebih sembilan bulan, aku rasa wajar peluang menamakan nama anak-anak diberi kepada isteriku. Aku sanggup memberi hak menamakan anak-anak sepenuhnya kepadanya, tanpa syarat!
“Pak Mat terima kasih ya,” sambil aku hulurkan empat keping not biru bernilai RM 200. Pak Mat seolah menolak pemberianku, terus kuasak wang tersebut dalam genggamannya. Aku sedari dia bekerja sebagai pemanduku, tetapi apalah salahnya sesekali bersikap pemurah terhadap orang tua yang telah lama menjadi pemandu setia ayahku.
Dia mengucapkan terima kasih berkali-kali. Barangkali pemberian RM 200 itu hanyalah beberapa keping kertas yang mungkin sama nilainya dengan harga dengan sehelai bagi sesetengah individu yang lain, tetapi dengan sesetengah individu yang lain, nilai wang ini lebih tinggi. Mungkin dengan wang sekeping itu, sudah cukup untuk memberi makanan sebulan kepada sejumlah ahli keluarga yang besar seperti di Jakarta.
           Barangkali memberi sejumlah kecil pemberian akan lebih nilainya jika seseorang individu itu tahu bersyukur seperti Pak Mat, dan nilainya seumpama jauh lebih bererti dibandingkan dengan individu yang tidak tahu bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada orang lain. Bagai teringat-ingat akan teman-temanku yang barangkali bersikap ‘ego’, wang bernilai seribu pun, dikatakan “Ala, seribu je.” “Sikit saja seribu tu.” Ungkapan yang berbunyi sombong dan bongkak sekali.
Derapan pertama di Lapangan Terbang KLIA menyaksikan pelbagai ragam manusia. Dewan menunggu di sini, kelihatan sibuk dengan pebagai ragam manusia. Aku terus mengintai manusia yang lalu lalang di hadapanku. Ada wajah tersenyum, ada yang kelihatan serius. Ada juga yang sekadar memulangkan pandangan kosong kepadaku. Pun semuanya, seolah wajah asing kepadaku. Anehkan, dalam ratusan wajah manusia, terselindung pelbagai rahsia yang tersembunyi di sebalik wajah-wajah suram, ceria dan suka duka itu. Dalam keterasingan itu, teringat aku akan wajah mak.
Masih teriyang-iyang butir-butir percakapan yang diucapkan oleh Dr Nadia  kepadaku ketika membawa mak untuk pemeriksaan setelah mak kelihatan pelupa, sebenarnya jauh lebih pelupa setelah  enam bulan kematian ayah.
“Saya minta maaf Encik Kameel. Setelah kami teliti kes Puan Amnah, reaksinya menunjukkan ada tanda-tanda dan kaitan dengan Alzheimer. Situasi seperti ini merupakan  petanda akhirnya. Ujian kami menunjukkan Puan Amnah lupa kepada benda-benda kecil. Lupa nama ahli keluarga dan alam sekelilingnya.”
“Puncanya doktor?”
“Tidak diketahui Encik Kameel. Sebabnya adalah apabila amiloid protein yang membentuk sel-sel plak protein menjadikan terdapatnya perubahan kepada kimia otak. Kegagalan sel otak yang tidak berinteraksi antara satu sama lain, menjadikan neurotransmitter yang berfungsi menyampaikan mesej dari satu neuron ke neuron terjejas. Faktor penyakit ini masih lagi menjadi tandatanya pengamal perubatan.” Aku hanya tergamam. Penerangan doktor yang selanjutnya merimaskan aku.
“Setakat ini tidak ada kajian dilakukan bagi mengenalpasti punca nyanyuk di negara ini. Bagaimanapun, penyakit strok atau angin ahmar yang kerap berulang boleh menyebabkan seseorang terdedah kepada penyakit ini.”
“Tapi kalau dilihat, ibu saya ini tak ada penyakit strok atau angin ahmar.” Kupandang Dr Nadia di hadapanku. Dia kelihatan tenang sahaja. Doktor sepertinya barangkali sudah beribu kali menghadapi persoalan yang rumit seperti ini. Mereka sudah pasti tahu cara untuk menenangkan perasaan mereka bagi berhadapan dengan pesakit.
Mak dan penyakit Demensia mak yang menghilangkan semua kemanisan hidup kami. Aku pasti semua memori yang dikandung dalam minda mak, suka dan dukanya hilang  disebalik penyakit yang ditemui oleh Dr  Alois Alzheimer pada tahun 1907 ini. Benarlah kata ramai pengkaji penyakit ini, penyakit yang dipanggil The Long Goodbye ini bukan sahaja memadamkan semua memori pesakit, malah menjaganya juga memerlukan kesabaran yang tinggi.
 Dan aku seharusnya terus bersyukur memiliki isteri yang baik, yang tiada galang gantinya di muka bumi ini, isteriku, Wulan. Barangkali aku tidak pernah menyatakan kepadanya, akan rasa terima kasihku, jauh di sudut hatiku, ucapan terima kasih sahaja tidak akan mencukupi bagi menyatakan akan perasaan terima kasihku kepadanya.
Mendengar panggilan meminta penumpang masuk menuju ke Pesawat Garuda ke Jakarta melegakan perasaanku. Antara memoriku bersama Aini, mak, ayah, Ris dan Nina berbaur-baur bersama kenangan bersama Jamilah Mira Estee ketika menikmati hampir enampuluh kali purnama bersama-sama di Perth, Australia. Dan di manakah Jamilah Mira Estee yang biasanya kupanggil dengan nama Yang Mira. Dan panggilan cinta  kami berakhir di saat ayahku meminta aku mengahwini anak sahabat karibnya, Aini Melati.
Cinta kepada Yang Mira, masih bersemadi dalam memoriku dengan satu persoalan sarat dalam benakku, di manakah dia? Mungkinkah aku akan bertemunya lagi? Masih adakah peluang untuk kami bersama? Dia Miraku, yang masih sarat berada dalam memori dan hatiku, perginya hanya meninggalkan jejak cinta, tetapi gema cintanya masih berpalu di gegendang cintaku, sesekali apabila bayu rindu berpalu bersama secebis rindu yang masih ada di kalbu lelakiku. Masihkah ada cinta di hatinya? Masihkan dia menungguku hadir semula ke hatinya? Masihkan dia sudi menantiku?



Bab 1: petikan 1


BAB 1 : AINI  MELATI  BINTI DESA@ WULAN  (Aku adalah WULAN, isteri, kekasih, ibu yang sering tertanya, adakah aku dicintai sepenuh jiwa?)
1
            “Untungnya Wulan, nikah orang luaq. Pandai betui Mak Meluq pilih menantu. Dah la muka lawa. Hidung dia terpacak. Orang kaya pulak. Untungnya Wulan.” Satu suara kedengarannya memuji suamiku. Suami yang baru semalam dinobatkan sebagai suamiku. Dan aku, tanpa kerelaan hakiki bergelar seorang isteri.
            “Ya la Mak melur. Bukan senang orghang kat pulau kita ni nak jumpa orghang luaq macam Kameel tu. Balik-balik, kalau tak hujung selat, orang kat balik pulau sana. Kalau tidak pun, orang tanjung balik pulau sana. Pi balik, pi balik, dekat-dekat sini saja. Ini orghang KL lagi.” Satu suara mengatakan perihal perkahwinan kami.
            “Ya betui, Tak orang Selat, orang sini, tak pun orghang pulau besaq. Tak berkembang  keturunan keluarga kita,” menyampuk satu suara lagi.
            “Hidung sapa yang tak terpacak? Orghang Kl memang la orghang Kl, tapi sapa kata menantu Mak Meluq kaya?” Terdengar suara mak bertanya balik, diiringi ketawa panjang.
            “Kami la kata kaya.. kalau tak kaya betui, kaya budi bahasa..”
            “Jadi la, kaya juga.” Kedengaran mak menyambut kalimah ayat penyata tadi. Disambut dengan ketawa bersama lagi. Terdengar suara ketawa bersahut di luar sepanjang pagi sehingga dinihari. Riuh rendah bagai disebut ‘bagai perempuan di air’. Sesekali,  bunyian serindit yang bertenggek di dahan berhampiran menyahut ketawa mereka. Indahnya dendangan lagu nyanyian serindit, dalam hatiku hanya berlagu sayu.
Dinding plywood yang hanya memisahkan aku dengan para petugas ‘dapur’ yang terdiri daripada orang kampungku seolah membesar-besarkan cerita tentang suamiku. Semalam, selepas isyak, dengan rasminya aku diberi gelaran ‘isteri’, istilah yang akan menjanjikan senyuman manis berkekalan jika ditunaikan dengan penuh kerelaan diri sendiri. Dan aku sendiri, tidak pasti, apakah istilah untuk ditujukan kepada diri sendiri, barangkali, paksa rela. Rela hati dalam situasi yang terpaksa.
            Baju kebaya labuh sutera berwarna biru lembut seolah warna biruan laut, bersulam dengan bunga-bungaan mawar bersaiz kecil,  bersusun selari, berwarna merah muda serta kuning, yang kujahit sendiri sebagai baju rasmi orientasi  ke UITM, Shah Alam, mengikut anganku hanya kekal sebagai ‘uniform’ rasmi hari persandinganku. Bajuku  untuk persandingan dengan Kameel pula adalah baju songket berwarna kuning cerah, bercorak ‘bunga tabur’, sesuai benar sebagai tanda ‘Raja Sehari’. Mungkin pada mak, aku telah ‘dinobatkan’ sebagai ‘Raja Sehari’, kepada diriku sendiri, aku hanyalah seekor burung yang akan terkurung di dalam sangkar emas, mataku bakal melihat dan menikmati pemandangan luar, tetapi seluruh badanku tinggal terkurung di dalam sangkar sempit. Semua impianku hanya berkecai di pertengahan jalan. Aku tidak bisa bermimpi lagi. Semuanya sudah berkubur. Hampa. Lesu. Aku hanyalah bulan tanpa suara.
            “Betullah nama Wulan ni, Mak Meluq beranak Wulan waktu bulan mengambang, dia kahwin pun waktu bulan penuh, jangan nanti, dia dapat anak pun waktu bulan mengambang jugak.” Disahut dengan ketawa mengilai lagi. Seronok sangat nampaknya mereka di luar sana, sedangkan aku di dalam ini terus menjeruk rasa. Pilu. Suram. Hati berbalam, bermain perasaan sedih sendiri. Tiada siapa untuk berkongsi rasa.
            “Nanti Wulan tak dok sini lagi Mak Meluq?” Terdengar suara di luar bertanya lagi.
            “Tak la. Dia kenalah ikut suami dia. Mana boleh si Kameel tu nak duduk sini. Nanti dia duduk KL la.” Suara sedih mak berbunyi sayu. Aku pun mengangguk sedih. ‘Mak yang sengaja menjauhkan diri Melur dengan Mak! Mak yang sengaja mencipta perpisahan kita!’ Hatiku berdesir lagi, sayu.
Aku membuka lagi surat tawaran itu yang kulipat kepada empat bahagian. Atas surat tawaran itu kelihatan remuk, seperti hatiku juga. Aku melihat lagi, surat tawaran meneruskan pengajian ke Fakulti Seni Reka Fesyen, di Universiti Teknologi Mara (UITM) di Shah Alam. Dua minggu lagi, aku sepatutnya mendaftar  sebagai siswi baru. Nampaknya angan-anganku untuk ke menara gading hanya tinggal memori sahaja. Pasti Kameel tidak mahu aku ‘bersekolah’ lagi! Akukan bergelar isteri orang! Takkan mungkin, dia mendapatkan diriku sebagai isterinya sekadar  untuk dilabelkanku sebagai seorang ‘siswi’. Semuanya hanyut bagai ada gigi dan lidah sahaja. Aku hanya boleh membicara hal ini, tiada kesempatan menunaikannya. Pun surat itu aku tetap bawakan ke rumah ini. Di rumah yang menjadikan aku selayaknya sebagai isteri dan ibu, bukannya puan di rumah banglo ini.
            Rupanya dua minggu selepas majlis perkahwinan gilang gemilang itu pun, surat itu kekal sebagai hanya sekeping surat yang hanya layak untuk duduk bersama  surat dan poskad lain dalam kotak simpanan suratku. Duduknya sekarang bersama 43 keping poskad dan 17 keping surat yang lainnya. Hampir limabelas tahun selepas itu, di saat bulan mengambang penuh, cahayanya yang kemercikan seperti bungaan kembang pagi, berseri, seperti  malam perkahwinan aku itu lagi, surat tawaran itu pun sudah  lama bertukar warna beberapa kali, dan akhirnya bertukar kusam, kekuningan, serta akhirnya ianya menjadi sekeping surat yang tiada harganya lagi biar pun kepada diriku sendiri. Dan sebagai tukarannya, aku dihadiahkan dua orang gadis sunti yang menyerikan kehidupanku. Ris dan Nina. Berbaloi aku kira, menolak tawaran UITM dan digantikan dengan dua gadis sunti manis sebagai ganjarannya. Lumayan sekali tukarannya.
            Ah! Bulan mengambang lagi. Mengingatkan aku dengan perkahwinan yang tertulis. Tanpa bantahan. Tiada juga kemahuan. Tiada kerelaan. Tiada cinta di saat bulan mengambang itu tiba. Lebih seratus enampuluh lapan kali bulan mengambang terang, tetapi aku masih belum lagi dapat melupakan saat kecewaku untuk hadir ke UITM sana.
Bulan yang seolah berada jauh nun di puncak langit, mengambang terang lagi malam ini. Cahayanya yang putih mulus, bagaikan menerangi kebiruan langit. Cahayanya bagaikan menyuluh terus dari lelangit  yang masih kelihatan birunya dalam kecerahan malam  menuju ke dasar kolam ikan yang terletak betul-betul di bawah balkoni kamar tidurku. Kelihatan anak-anak ikan  Japanese koi yang sederhana besarnya sedang galak berenang ke sana-sini. Aku terus memandang terus ke arah bulan lagi. Tiba-tiba teringat akan ibu dan keluarga, nun jauh beratus batu di sana, dipisahkan dengan Laut Selat Melaka.
            Padan benarlah aku digelar “Wulan”. Ibu dan ayahku memanggilku dengan gelaran ‘Bulan’ kerana kelahiranku disambut dalam cahaya bulan yang mengambang. Sementelahan kerana perkataan ‘bulan’ yang tidak dapat kusebut dengan betul, ‘bulan’ sudah bertukar kepada perkataan ‘Wulan’ dan ia berterusan sehingga kini. Cuma, aku bernasib baik, tidak dinamakan dengan ‘Bulan’ sebaliknya, ‘Aini Melati’. Aini membawa maksud musim bunga atau spring dan Melati pula adalah sejenis bunga tempatan, dikenali dengan nama bunga melur atau nama saintifiknya,  Jasminum Sambak. Bunga Melati juga dikenali sebagai bunga Jasmin.
 Kata mak, yang masih aku ingati, “Hidup Melati biarlah berjasa, harumnya bagai Melur, sentiasa harum dan mewangi.” Pernah juga aku mengkaji perihal bunga melati ini, wangian bunga ini dikaitkan dengan cecair yang dikenali dengan nama Jasmon. Di Eropah abstrak bunga ini kebiasaannya digunakan sebagai ubat untuk saraf.  Bulan mengambang banyak membawa spesifikasi dalam hidupku.  Bukan sahaja tarikh aku dipertemukan dengan dunia ini, begitu juga tarikh aku dikahwinkan dengan Kameel, malah anakku, Ris yang seringkali kugelar dengan panggilan manjanya, sweet pai, juga dilahirkan takkala bulan mengambang penuh, genap tigabelas bulan selepas perkahwinanku. Seperti yang disebut seorang perempuan kampungku di luar bilik rumahku ketika persiapan kenduriku. Agaknya, masin mulutnya membawa berkat.
            Alangkah ajaibnya memikirkan  ciptaan Ilahi ini. Bulan yang jauh di langit sana. Bulan merupakan planet yang kelima terbesar di Sistem Suria, walaupun hanya bersaiz hanya satu per empat daripada saiz bumi, bulan mampu beredar mengelilingi bumi setiap 27.3 hari, pada jarak 384, 400 kilometer di bawah tarikan graviti bumi. Alangkah ajaibnya mengintai bulan yang jaraknya 3476 kilometer dari bumi memancarkan cahaya putih mulus yang menerangi alam semesta, wahal cahayanya hanya sekadar menumpang pantulan cahaya sang suria. Sang Suria yang menumpangkan cahayanya kepada sang bulan. Itulah diriku! Bulan yang menumpang cahaya, sang suria. Sang  suria itu tentulah tidak lain daripada suamiku, Kameel Bakri. Tanpa Kameel, suami, tentulah aku, ‘Wulan’ tidak mempunyai cahayanya yang disanjungi orang lain.
            Teringat aku kepada kata-kata ibuku, barangkali melihat kesedihanku di ruang bebola mataku.
            “Wulan, janganlah Wulan sedih. Bakal suami Wulan tu baik. Keluarga dia juga baik-baik belaka. Bapak Wulan bukannya nak buat naya.” Aku faham benar perkataan ‘naya’ yang bermaksud, tidak akan merugikan diri aku sebenarnya.
            “Mak, Wulan patutnya pi belajaq ke universiti mak, dah lama Wulam impikan ke sana mak. Dah ada tawaran pun. Sampai hati bapak buat Wulan macam ni.”
            “Mak minta maaf. Mak pun tak boleh buat apa-apa. Tau la, bapak chek tu. Hitam kata dia, jadi hitamlah kita ni. Putih kata dia, putih lah kita.”
            “Jadi isteri orghang ni, jangan melawan kata suami. Jangan bantah kata-kata dia. Suami Wulan adalah syurga Wulan. Jaga perangai. Wulan bukan saja bawa nama Wulan, tapi nama baik mak dan ayah kat sini.” Aku ingat segalanya lagi, aku hanya mengangguk lesu dengan kata-kata nasihat mak, yang aku pikul di bahuku dengan kemas. Dalam mengharungi hidup, kita akan berhadapan dengan pilihan untuk menjadi putih atau hitam, dan tentunya aku memilih untuk menjadi ‘putih’ dan bersih agar nama baikku dan keluarga terpelihara.
            “Kalau bapak dengaq benda yang tak baik yang Wulan buat, bapak sendiri yang pi sana dan pukui Wulan.” Bapaku masih sempat berbisik, pada hematku, sepatutnya dengan memberi pesanan yang molek-molek bagi mengubati keresahanku. Rupanya hati bapa seolah sekeras besi tempawan. Keras hatinya seperti keras mangkas, sekeras tulangnya juga. Perkahwinanku dengan Kameel, ‘bagaikan bulan jatuh ke riba’. Bapa bukan sahaja dihadiahi dengan seorang menantu yang baik, berlatar belakangkan keluarga yang baik, bahkan dihadiahi dengan kesenangan kepada keluargaku. Dan aku hanya menjadi bagaikan ‘bulan gelap’. Bulan mati yang cahayanya sudah dibawa pergi jauh. Jauh daripada segala impian, khayalan dan cita-citaku.
            Dengan ayat mak itu lah, aku hanya menjadi ‘Pak Turut’ sahaja atau barangkali lebih tepat dikatakan ‘cik turut’ saja. Cita-citaku untuk muncul sebagai seoang pereka fesyen terkenal turut di’hitamkan’ dengan cadangan bapaku. Tiga hari selepas itu, aku benar-benar beraksi seperti pengantin Hindustan, di mana keluarganya hanya menghantarku dan keluarga suami ke hujung pengkalan lama. Hanya sebuah jeti lama. Maka berangkatlah aku keluar dari daerahku dengan tangisan dan esakan, tanpa diiringi keluargaku.
Bapaku, menurut mak, akan sibuk menyiapkan rumah kami yang belum siap sepenuhnya. Desas-desus yang aku terima, bapa Kameel membiayai semua kos mengubah suai rumah kami yang kelihatan usang. Dan bapa mertuaku jugalah yang memberi biayai baru bagi bapa menjalankan perniagaan membela ikan dalam sangkar di sebuah pulau, yang berdekatan pulau tempat tinggal kami, syurga kehidupan kami sekeluarga. Dan akukah yang menjadi taruhan dalam perhitungan bapa mengubah kemiskinan keluargaku. Akukah yang menjadi taruhan cinta! Dan tika itu, ingatan terus menerjah kepada wajah Rizal Rafique bin Muhammad.
            Terlalu banyak pesanan mak, yang dibisikkan kepadaku. Kata-katanya yang berulang-ulang, Cuma berbeza bunyi dan versinya.
            “Wulan, jangan melawan kata suami no. Jangan sakitkan hati suami dan mak serta bapa mertua. Wulan, jangan tinggai rumah tanpa pengetahuan suami. Jaga makan dan minum dia. Jangan itu, dan jangan ini… Suami Wulan adalah syurga kehidupan Wulan. ” Senarainya panjang sekali, berkaki panjangnya kalau aku coretkan. Kata-kata itulah yang menjadi peganganku kini, yang ada kalanya menyakiti diriku sendiri. Dan terus kubawa senarai ibu yang panjang itu ke saat ini.
            Aku melangkah masuk ke bilik, kutinggalkan cahaya bulan yang memantul terang ke arah balkoniku, langsung mengindahkan pandangan ke dasar kolam ikan koi di bawahnya. Sang bayu malam yang datang berbisik, sayu dan lembut seolah mengajak aku beradu, meninggalkan semua memori dan ingatanku terhadap bulan. Bulan yang selalunya sepi, di saat cahayanya menerangi alam semesta, dirinya sebenarnya sepi, sesepi diriku. Sekadar satu soalan cinta buat Kameel, cukupkah kehadiranku memenuhi ruang sepi kehidupan cintanya, kerana dia, dan cintanya belum penuh untuk memenuhi kehidupan cintaku. Agaknya, ‘bulan’ ini terlalu tamak untuk mengumpul cinta. Dan malam yang indah, aku dan kesepianku membawa aku beradu dan mengintai mimpi yang indah, bagi mengisi kesepianku seperti selalu. Esoknya, hari-hari yang indah lagi pasti mengisi kesepianku lagi. Pasti. Aku kan memiliki Ris, Nina, mak dan Sumarni.
            Telefon yang kuletakkan di pinggir meja sisi katilku, berlagu lagi. Di skrin, tertera perkataan, Hubby, segera aku menjawabnya.
            “I balik lambat. Tak payah tunggu. You tidurlah dulu.”
            “Okay bang.” Itu sahaja yang perlu kujawab. Dengan nada yang sedih, tetapi kesedihannya kutelan sendiri. Setiap kali dia menyatakan sesuatu, aku hanya melontarkan nada sedia dan jawapannya adalah ‘ya bang’, tidak lain daripada itu. Tiada soalan yang akan lahir daripada bibir nipisku, tiada ‘kenapa’ atau ‘mengapa’ walaupun sekadar memecahkan perbicaraan biasa. Juga tiada ayat penyata sekadar menyatakan perasaan yang bersarang di dadanya. Sayangkah dia kepadaku? Cintakah dia kepadaku? Sejak perkahwinan kami, itulah perkataan biasa yang aku dengar. “I balik lambat.” atau “I ada mesyuarat.”, “I itu dan I ini sahaja.” dan jawapanku pula sekadar, “Okay bang.” Itulah pesanan yang ibuku pesankan. Sentiasa berkata, ‘ya’ seperti yang dia lakukan dalam perkahwinannya dengan bapaku. Bukankah ibu adalah model terbaik untuk anaknya, sepertiku?
            Berdosakah aku mengharapkan suamiku lebih mesra dan melahirkan pengucapan yang melegakan perasaanku. Perkataan yang mengukuhkan perasaan kami. Lebih 168 purnama bersama, seharusnya hubungan kami tidak akan janggal. Kami seolah dua insan yang berada jauh antara bulan dan bumi. Aku bagaikan bulan, dan dia sang Suriaku. Aku, bulan yang duduknya tinggi di angkasa, sentiasa mengharapkan sang suria untuk sinarannya. Dan dia, Suriaku yang cahayanya menyinar ganas setiap hari. Pasti melukakan jika membiarkan tempias cahayanya menyinar. Salahkah aku jika aku mengharapkan dia menyatakan walaupun  cahaya bulan menyinar hanya sekali sepurnama, aku masih lagi menyuluh alam, menyinari kehidupannya. Salahkah aku sebagai isteri meminta dia menyelami hati cintaku. Salahkah aku? Dan aku bertuah kerana tiga malam berturut-turut cahaya bulan mengiringi aku beradu keseorangan  seperti malam lainnya. Barangkali, dia sudah melupakan aku, yang pernah menjadi suri hatinya. Barangkali.
            Cuma aku mengharapkan benih cinta yang ditanam dalam rahimku, kali ini akan mengikat cinta kami berdua selamanya. “Bulan! Kau menjadi saksi, aku cintakan dia. Aku cuma meminta, dia tunjukkan cintanya padaku.” Puas aku merayu bulan, harapanku. Bulan dan bayu malam yang bertiupan akan membawa berita ini kepadanya, kepada Kameelku.
Lagu ini bagaikan menari-nari dalam mindaku,
Oh, malunya hatiku bila kuingat saat itu,Kami saling berpandang, dan terdiam terpaku,Oh bulan hanya dirimu yang menyaksikan segalanya,Oh Bulan, tolonglah daku katakan padanya.
Kucinta dia…
Aku cintakan dia, walaupun tidak pasti, adakah dia menyintai bulan yang satu ini?
Entah kepada siapa cintaku ini, Kameel Bakri atau Rizal Rafique yang sehingga kini tiada dapat aku jejaki lagi!