Followers, thanks

Followers

Kandungan PM

Bab 1: Wulan: Aini Melati @ Wulan... Aku adalah Wulan. (penamat di tempat yang sama)
Bab 2:BakriKameel b.Badrulhisyam...Aku adalah Kameel.(Penamat di tempat yang sama)
Bab 3:Zara Orkhid Bt Desa..Aku adalah Zara
(Penamat di tempat yang sama)
Bab 4:Dunia Derita (sambungan di penamat yang sama)
Bab 5;Seindah Pertemuan.
Bab 6:Bulan yang tercalar
Bab 7:Bulan yang terus berdarah.
Bab 8:Bulan yang tersenyum.
Bab 9:Gemilau Cahaya Bulan.
Bab 10: Rembulan Cinta

Thanks for visiting...

Blog Nora Fuad

Blog Nora Fuad
Blog Nora Fuad, sila klik. Tq

About Me

My photo
pernah belajar mass com, edu...older of 4 siblings.Married to Fuad Halimi.Ex teacher to MGS Klang,MGS KL,SMK Tunku Putra,Langkawi. Ex Student SMK Sultanah Bahiyah,SMK Mahsuri Langkawi,UKM dan UM.

Novel pertama Okt 2010

Novel pertama Okt 2010
NOVEL PERTAMA OKT 2010... Link info novel, sila klik gambar.TQ

NOVEL KE 2

NOVEL KE 2
NOVEL KE2, FEB 2011, Info sila klik di gambar. TQ

Friday, July 1, 2011

Bab 1: petikan 1


BAB 1 : AINI  MELATI  BINTI DESA@ WULAN  (Aku adalah WULAN, isteri, kekasih, ibu yang sering tertanya, adakah aku dicintai sepenuh jiwa?)
1
            “Untungnya Wulan, nikah orang luaq. Pandai betui Mak Meluq pilih menantu. Dah la muka lawa. Hidung dia terpacak. Orang kaya pulak. Untungnya Wulan.” Satu suara kedengarannya memuji suamiku. Suami yang baru semalam dinobatkan sebagai suamiku. Dan aku, tanpa kerelaan hakiki bergelar seorang isteri.
            “Ya la Mak melur. Bukan senang orghang kat pulau kita ni nak jumpa orghang luaq macam Kameel tu. Balik-balik, kalau tak hujung selat, orang kat balik pulau sana. Kalau tidak pun, orang tanjung balik pulau sana. Pi balik, pi balik, dekat-dekat sini saja. Ini orghang KL lagi.” Satu suara mengatakan perihal perkahwinan kami.
            “Ya betui, Tak orang Selat, orang sini, tak pun orghang pulau besaq. Tak berkembang  keturunan keluarga kita,” menyampuk satu suara lagi.
            “Hidung sapa yang tak terpacak? Orghang Kl memang la orghang Kl, tapi sapa kata menantu Mak Meluq kaya?” Terdengar suara mak bertanya balik, diiringi ketawa panjang.
            “Kami la kata kaya.. kalau tak kaya betui, kaya budi bahasa..”
            “Jadi la, kaya juga.” Kedengaran mak menyambut kalimah ayat penyata tadi. Disambut dengan ketawa bersama lagi. Terdengar suara ketawa bersahut di luar sepanjang pagi sehingga dinihari. Riuh rendah bagai disebut ‘bagai perempuan di air’. Sesekali,  bunyian serindit yang bertenggek di dahan berhampiran menyahut ketawa mereka. Indahnya dendangan lagu nyanyian serindit, dalam hatiku hanya berlagu sayu.
Dinding plywood yang hanya memisahkan aku dengan para petugas ‘dapur’ yang terdiri daripada orang kampungku seolah membesar-besarkan cerita tentang suamiku. Semalam, selepas isyak, dengan rasminya aku diberi gelaran ‘isteri’, istilah yang akan menjanjikan senyuman manis berkekalan jika ditunaikan dengan penuh kerelaan diri sendiri. Dan aku sendiri, tidak pasti, apakah istilah untuk ditujukan kepada diri sendiri, barangkali, paksa rela. Rela hati dalam situasi yang terpaksa.
            Baju kebaya labuh sutera berwarna biru lembut seolah warna biruan laut, bersulam dengan bunga-bungaan mawar bersaiz kecil,  bersusun selari, berwarna merah muda serta kuning, yang kujahit sendiri sebagai baju rasmi orientasi  ke UITM, Shah Alam, mengikut anganku hanya kekal sebagai ‘uniform’ rasmi hari persandinganku. Bajuku  untuk persandingan dengan Kameel pula adalah baju songket berwarna kuning cerah, bercorak ‘bunga tabur’, sesuai benar sebagai tanda ‘Raja Sehari’. Mungkin pada mak, aku telah ‘dinobatkan’ sebagai ‘Raja Sehari’, kepada diriku sendiri, aku hanyalah seekor burung yang akan terkurung di dalam sangkar emas, mataku bakal melihat dan menikmati pemandangan luar, tetapi seluruh badanku tinggal terkurung di dalam sangkar sempit. Semua impianku hanya berkecai di pertengahan jalan. Aku tidak bisa bermimpi lagi. Semuanya sudah berkubur. Hampa. Lesu. Aku hanyalah bulan tanpa suara.
            “Betullah nama Wulan ni, Mak Meluq beranak Wulan waktu bulan mengambang, dia kahwin pun waktu bulan penuh, jangan nanti, dia dapat anak pun waktu bulan mengambang jugak.” Disahut dengan ketawa mengilai lagi. Seronok sangat nampaknya mereka di luar sana, sedangkan aku di dalam ini terus menjeruk rasa. Pilu. Suram. Hati berbalam, bermain perasaan sedih sendiri. Tiada siapa untuk berkongsi rasa.
            “Nanti Wulan tak dok sini lagi Mak Meluq?” Terdengar suara di luar bertanya lagi.
            “Tak la. Dia kenalah ikut suami dia. Mana boleh si Kameel tu nak duduk sini. Nanti dia duduk KL la.” Suara sedih mak berbunyi sayu. Aku pun mengangguk sedih. ‘Mak yang sengaja menjauhkan diri Melur dengan Mak! Mak yang sengaja mencipta perpisahan kita!’ Hatiku berdesir lagi, sayu.
Aku membuka lagi surat tawaran itu yang kulipat kepada empat bahagian. Atas surat tawaran itu kelihatan remuk, seperti hatiku juga. Aku melihat lagi, surat tawaran meneruskan pengajian ke Fakulti Seni Reka Fesyen, di Universiti Teknologi Mara (UITM) di Shah Alam. Dua minggu lagi, aku sepatutnya mendaftar  sebagai siswi baru. Nampaknya angan-anganku untuk ke menara gading hanya tinggal memori sahaja. Pasti Kameel tidak mahu aku ‘bersekolah’ lagi! Akukan bergelar isteri orang! Takkan mungkin, dia mendapatkan diriku sebagai isterinya sekadar  untuk dilabelkanku sebagai seorang ‘siswi’. Semuanya hanyut bagai ada gigi dan lidah sahaja. Aku hanya boleh membicara hal ini, tiada kesempatan menunaikannya. Pun surat itu aku tetap bawakan ke rumah ini. Di rumah yang menjadikan aku selayaknya sebagai isteri dan ibu, bukannya puan di rumah banglo ini.
            Rupanya dua minggu selepas majlis perkahwinan gilang gemilang itu pun, surat itu kekal sebagai hanya sekeping surat yang hanya layak untuk duduk bersama  surat dan poskad lain dalam kotak simpanan suratku. Duduknya sekarang bersama 43 keping poskad dan 17 keping surat yang lainnya. Hampir limabelas tahun selepas itu, di saat bulan mengambang penuh, cahayanya yang kemercikan seperti bungaan kembang pagi, berseri, seperti  malam perkahwinan aku itu lagi, surat tawaran itu pun sudah  lama bertukar warna beberapa kali, dan akhirnya bertukar kusam, kekuningan, serta akhirnya ianya menjadi sekeping surat yang tiada harganya lagi biar pun kepada diriku sendiri. Dan sebagai tukarannya, aku dihadiahkan dua orang gadis sunti yang menyerikan kehidupanku. Ris dan Nina. Berbaloi aku kira, menolak tawaran UITM dan digantikan dengan dua gadis sunti manis sebagai ganjarannya. Lumayan sekali tukarannya.
            Ah! Bulan mengambang lagi. Mengingatkan aku dengan perkahwinan yang tertulis. Tanpa bantahan. Tiada juga kemahuan. Tiada kerelaan. Tiada cinta di saat bulan mengambang itu tiba. Lebih seratus enampuluh lapan kali bulan mengambang terang, tetapi aku masih belum lagi dapat melupakan saat kecewaku untuk hadir ke UITM sana.
Bulan yang seolah berada jauh nun di puncak langit, mengambang terang lagi malam ini. Cahayanya yang putih mulus, bagaikan menerangi kebiruan langit. Cahayanya bagaikan menyuluh terus dari lelangit  yang masih kelihatan birunya dalam kecerahan malam  menuju ke dasar kolam ikan yang terletak betul-betul di bawah balkoni kamar tidurku. Kelihatan anak-anak ikan  Japanese koi yang sederhana besarnya sedang galak berenang ke sana-sini. Aku terus memandang terus ke arah bulan lagi. Tiba-tiba teringat akan ibu dan keluarga, nun jauh beratus batu di sana, dipisahkan dengan Laut Selat Melaka.
            Padan benarlah aku digelar “Wulan”. Ibu dan ayahku memanggilku dengan gelaran ‘Bulan’ kerana kelahiranku disambut dalam cahaya bulan yang mengambang. Sementelahan kerana perkataan ‘bulan’ yang tidak dapat kusebut dengan betul, ‘bulan’ sudah bertukar kepada perkataan ‘Wulan’ dan ia berterusan sehingga kini. Cuma, aku bernasib baik, tidak dinamakan dengan ‘Bulan’ sebaliknya, ‘Aini Melati’. Aini membawa maksud musim bunga atau spring dan Melati pula adalah sejenis bunga tempatan, dikenali dengan nama bunga melur atau nama saintifiknya,  Jasminum Sambak. Bunga Melati juga dikenali sebagai bunga Jasmin.
 Kata mak, yang masih aku ingati, “Hidup Melati biarlah berjasa, harumnya bagai Melur, sentiasa harum dan mewangi.” Pernah juga aku mengkaji perihal bunga melati ini, wangian bunga ini dikaitkan dengan cecair yang dikenali dengan nama Jasmon. Di Eropah abstrak bunga ini kebiasaannya digunakan sebagai ubat untuk saraf.  Bulan mengambang banyak membawa spesifikasi dalam hidupku.  Bukan sahaja tarikh aku dipertemukan dengan dunia ini, begitu juga tarikh aku dikahwinkan dengan Kameel, malah anakku, Ris yang seringkali kugelar dengan panggilan manjanya, sweet pai, juga dilahirkan takkala bulan mengambang penuh, genap tigabelas bulan selepas perkahwinanku. Seperti yang disebut seorang perempuan kampungku di luar bilik rumahku ketika persiapan kenduriku. Agaknya, masin mulutnya membawa berkat.
            Alangkah ajaibnya memikirkan  ciptaan Ilahi ini. Bulan yang jauh di langit sana. Bulan merupakan planet yang kelima terbesar di Sistem Suria, walaupun hanya bersaiz hanya satu per empat daripada saiz bumi, bulan mampu beredar mengelilingi bumi setiap 27.3 hari, pada jarak 384, 400 kilometer di bawah tarikan graviti bumi. Alangkah ajaibnya mengintai bulan yang jaraknya 3476 kilometer dari bumi memancarkan cahaya putih mulus yang menerangi alam semesta, wahal cahayanya hanya sekadar menumpang pantulan cahaya sang suria. Sang Suria yang menumpangkan cahayanya kepada sang bulan. Itulah diriku! Bulan yang menumpang cahaya, sang suria. Sang  suria itu tentulah tidak lain daripada suamiku, Kameel Bakri. Tanpa Kameel, suami, tentulah aku, ‘Wulan’ tidak mempunyai cahayanya yang disanjungi orang lain.
            Teringat aku kepada kata-kata ibuku, barangkali melihat kesedihanku di ruang bebola mataku.
            “Wulan, janganlah Wulan sedih. Bakal suami Wulan tu baik. Keluarga dia juga baik-baik belaka. Bapak Wulan bukannya nak buat naya.” Aku faham benar perkataan ‘naya’ yang bermaksud, tidak akan merugikan diri aku sebenarnya.
            “Mak, Wulan patutnya pi belajaq ke universiti mak, dah lama Wulam impikan ke sana mak. Dah ada tawaran pun. Sampai hati bapak buat Wulan macam ni.”
            “Mak minta maaf. Mak pun tak boleh buat apa-apa. Tau la, bapak chek tu. Hitam kata dia, jadi hitamlah kita ni. Putih kata dia, putih lah kita.”
            “Jadi isteri orghang ni, jangan melawan kata suami. Jangan bantah kata-kata dia. Suami Wulan adalah syurga Wulan. Jaga perangai. Wulan bukan saja bawa nama Wulan, tapi nama baik mak dan ayah kat sini.” Aku ingat segalanya lagi, aku hanya mengangguk lesu dengan kata-kata nasihat mak, yang aku pikul di bahuku dengan kemas. Dalam mengharungi hidup, kita akan berhadapan dengan pilihan untuk menjadi putih atau hitam, dan tentunya aku memilih untuk menjadi ‘putih’ dan bersih agar nama baikku dan keluarga terpelihara.
            “Kalau bapak dengaq benda yang tak baik yang Wulan buat, bapak sendiri yang pi sana dan pukui Wulan.” Bapaku masih sempat berbisik, pada hematku, sepatutnya dengan memberi pesanan yang molek-molek bagi mengubati keresahanku. Rupanya hati bapa seolah sekeras besi tempawan. Keras hatinya seperti keras mangkas, sekeras tulangnya juga. Perkahwinanku dengan Kameel, ‘bagaikan bulan jatuh ke riba’. Bapa bukan sahaja dihadiahi dengan seorang menantu yang baik, berlatar belakangkan keluarga yang baik, bahkan dihadiahi dengan kesenangan kepada keluargaku. Dan aku hanya menjadi bagaikan ‘bulan gelap’. Bulan mati yang cahayanya sudah dibawa pergi jauh. Jauh daripada segala impian, khayalan dan cita-citaku.
            Dengan ayat mak itu lah, aku hanya menjadi ‘Pak Turut’ sahaja atau barangkali lebih tepat dikatakan ‘cik turut’ saja. Cita-citaku untuk muncul sebagai seoang pereka fesyen terkenal turut di’hitamkan’ dengan cadangan bapaku. Tiga hari selepas itu, aku benar-benar beraksi seperti pengantin Hindustan, di mana keluarganya hanya menghantarku dan keluarga suami ke hujung pengkalan lama. Hanya sebuah jeti lama. Maka berangkatlah aku keluar dari daerahku dengan tangisan dan esakan, tanpa diiringi keluargaku.
Bapaku, menurut mak, akan sibuk menyiapkan rumah kami yang belum siap sepenuhnya. Desas-desus yang aku terima, bapa Kameel membiayai semua kos mengubah suai rumah kami yang kelihatan usang. Dan bapa mertuaku jugalah yang memberi biayai baru bagi bapa menjalankan perniagaan membela ikan dalam sangkar di sebuah pulau, yang berdekatan pulau tempat tinggal kami, syurga kehidupan kami sekeluarga. Dan akukah yang menjadi taruhan dalam perhitungan bapa mengubah kemiskinan keluargaku. Akukah yang menjadi taruhan cinta! Dan tika itu, ingatan terus menerjah kepada wajah Rizal Rafique bin Muhammad.
            Terlalu banyak pesanan mak, yang dibisikkan kepadaku. Kata-katanya yang berulang-ulang, Cuma berbeza bunyi dan versinya.
            “Wulan, jangan melawan kata suami no. Jangan sakitkan hati suami dan mak serta bapa mertua. Wulan, jangan tinggai rumah tanpa pengetahuan suami. Jaga makan dan minum dia. Jangan itu, dan jangan ini… Suami Wulan adalah syurga kehidupan Wulan. ” Senarainya panjang sekali, berkaki panjangnya kalau aku coretkan. Kata-kata itulah yang menjadi peganganku kini, yang ada kalanya menyakiti diriku sendiri. Dan terus kubawa senarai ibu yang panjang itu ke saat ini.
            Aku melangkah masuk ke bilik, kutinggalkan cahaya bulan yang memantul terang ke arah balkoniku, langsung mengindahkan pandangan ke dasar kolam ikan koi di bawahnya. Sang bayu malam yang datang berbisik, sayu dan lembut seolah mengajak aku beradu, meninggalkan semua memori dan ingatanku terhadap bulan. Bulan yang selalunya sepi, di saat cahayanya menerangi alam semesta, dirinya sebenarnya sepi, sesepi diriku. Sekadar satu soalan cinta buat Kameel, cukupkah kehadiranku memenuhi ruang sepi kehidupan cintanya, kerana dia, dan cintanya belum penuh untuk memenuhi kehidupan cintaku. Agaknya, ‘bulan’ ini terlalu tamak untuk mengumpul cinta. Dan malam yang indah, aku dan kesepianku membawa aku beradu dan mengintai mimpi yang indah, bagi mengisi kesepianku seperti selalu. Esoknya, hari-hari yang indah lagi pasti mengisi kesepianku lagi. Pasti. Aku kan memiliki Ris, Nina, mak dan Sumarni.
            Telefon yang kuletakkan di pinggir meja sisi katilku, berlagu lagi. Di skrin, tertera perkataan, Hubby, segera aku menjawabnya.
            “I balik lambat. Tak payah tunggu. You tidurlah dulu.”
            “Okay bang.” Itu sahaja yang perlu kujawab. Dengan nada yang sedih, tetapi kesedihannya kutelan sendiri. Setiap kali dia menyatakan sesuatu, aku hanya melontarkan nada sedia dan jawapannya adalah ‘ya bang’, tidak lain daripada itu. Tiada soalan yang akan lahir daripada bibir nipisku, tiada ‘kenapa’ atau ‘mengapa’ walaupun sekadar memecahkan perbicaraan biasa. Juga tiada ayat penyata sekadar menyatakan perasaan yang bersarang di dadanya. Sayangkah dia kepadaku? Cintakah dia kepadaku? Sejak perkahwinan kami, itulah perkataan biasa yang aku dengar. “I balik lambat.” atau “I ada mesyuarat.”, “I itu dan I ini sahaja.” dan jawapanku pula sekadar, “Okay bang.” Itulah pesanan yang ibuku pesankan. Sentiasa berkata, ‘ya’ seperti yang dia lakukan dalam perkahwinannya dengan bapaku. Bukankah ibu adalah model terbaik untuk anaknya, sepertiku?
            Berdosakah aku mengharapkan suamiku lebih mesra dan melahirkan pengucapan yang melegakan perasaanku. Perkataan yang mengukuhkan perasaan kami. Lebih 168 purnama bersama, seharusnya hubungan kami tidak akan janggal. Kami seolah dua insan yang berada jauh antara bulan dan bumi. Aku bagaikan bulan, dan dia sang Suriaku. Aku, bulan yang duduknya tinggi di angkasa, sentiasa mengharapkan sang suria untuk sinarannya. Dan dia, Suriaku yang cahayanya menyinar ganas setiap hari. Pasti melukakan jika membiarkan tempias cahayanya menyinar. Salahkah aku jika aku mengharapkan dia menyatakan walaupun  cahaya bulan menyinar hanya sekali sepurnama, aku masih lagi menyuluh alam, menyinari kehidupannya. Salahkah aku sebagai isteri meminta dia menyelami hati cintaku. Salahkah aku? Dan aku bertuah kerana tiga malam berturut-turut cahaya bulan mengiringi aku beradu keseorangan  seperti malam lainnya. Barangkali, dia sudah melupakan aku, yang pernah menjadi suri hatinya. Barangkali.
            Cuma aku mengharapkan benih cinta yang ditanam dalam rahimku, kali ini akan mengikat cinta kami berdua selamanya. “Bulan! Kau menjadi saksi, aku cintakan dia. Aku cuma meminta, dia tunjukkan cintanya padaku.” Puas aku merayu bulan, harapanku. Bulan dan bayu malam yang bertiupan akan membawa berita ini kepadanya, kepada Kameelku.
Lagu ini bagaikan menari-nari dalam mindaku,
Oh, malunya hatiku bila kuingat saat itu,Kami saling berpandang, dan terdiam terpaku,Oh bulan hanya dirimu yang menyaksikan segalanya,Oh Bulan, tolonglah daku katakan padanya.
Kucinta dia…
Aku cintakan dia, walaupun tidak pasti, adakah dia menyintai bulan yang satu ini?
Entah kepada siapa cintaku ini, Kameel Bakri atau Rizal Rafique yang sehingga kini tiada dapat aku jejaki lagi!

No comments:

Post a Comment