Followers, thanks

Followers

Kandungan PM

Bab 1: Wulan: Aini Melati @ Wulan... Aku adalah Wulan. (penamat di tempat yang sama)
Bab 2:BakriKameel b.Badrulhisyam...Aku adalah Kameel.(Penamat di tempat yang sama)
Bab 3:Zara Orkhid Bt Desa..Aku adalah Zara
(Penamat di tempat yang sama)
Bab 4:Dunia Derita (sambungan di penamat yang sama)
Bab 5;Seindah Pertemuan.
Bab 6:Bulan yang tercalar
Bab 7:Bulan yang terus berdarah.
Bab 8:Bulan yang tersenyum.
Bab 9:Gemilau Cahaya Bulan.
Bab 10: Rembulan Cinta

Thanks for visiting...

Blog Nora Fuad

Blog Nora Fuad
Blog Nora Fuad, sila klik. Tq

About Me

My photo
pernah belajar mass com, edu...older of 4 siblings.Married to Fuad Halimi.Ex teacher to MGS Klang,MGS KL,SMK Tunku Putra,Langkawi. Ex Student SMK Sultanah Bahiyah,SMK Mahsuri Langkawi,UKM dan UM.

Novel pertama Okt 2010

Novel pertama Okt 2010
NOVEL PERTAMA OKT 2010... Link info novel, sila klik gambar.TQ

NOVEL KE 2

NOVEL KE 2
NOVEL KE2, FEB 2011, Info sila klik di gambar. TQ

Tuesday, August 9, 2011

Bab 6: petikan 1


BAB 6: BULAN YANG TERCALAR
1
            Di luar, kedengaran Eva menyanyikan lagu riang dalam Bahasa Perancis.
Là pour moi, comme un ange après la nuit
seras-tu là pour moi, un ami qui suit ma vie
pour tout ce temps qui passe, de l'enfance au paradis
seras-tu là pour moi

Si j'ai besoin de toi, me tiendras-tu par la main
conduiras-tu mes pas, pour me montrer les chemins que
font les grands comme toi,
Vers qui, vers quoi, je ne sais pas 
Zara mengamati lagu Perancis yang bermaksud I will be there for you yang dinyanyikan oleh Eva. Maklumlah, orang yang tengah sarat diarak cinta. Semuanya indah dan berwarna pelangi belaka. Eva mencuba menghayati kembali lirik lagu yang diulang nyanyiannya oleh Eva. Zara sengaja menterjemahkan lirik lagu tersebut di atas sehelai kertas dengan berbaring malas di atas katilnya. Dia akan cuba menterjemahkan lagu tersebut agar memantapkan lagi pengetahuan Bahasa Perancisnya dan Inggerisnya. Lagipun, Zara ingin sekali menyelami isi hati Eva yang bernyanyi riang.  Bidang penterjemahan ini juga merupakan salah satu bidang pengkhususan Zara semasa melengkapkan pengkhususannya dahulu semasa Mastersnya di Vannes dahulu, selain daripada  Pengkhususan Perhubungan Antarabangsa.
‘Boleh tahan juga senikata lagu ni! Jiwang. Hah! Orang tengah hangat dengan perasaan, katakan! Tengah angau satu badan! Langau satu badan!’ Hati Zara berbisik sendiri lagi. Perkataan ‘langau’ satu badan biasa mereka gunakan bagi menggambarkan kecelaruan perasaan ketika jatuh cinta! Entahkan, dia sendiri tengah angau atau langau? Dia terasa bagaikan berada di awangan bersama kenangan bersua dengan Erwan. Tapi tidak akan mungkin, hanya sekali pertemuan lelaki persis Aaron Aziz, dramatis dari Pulau Singa, Singapura, jiwa perempuannya sudah terbuka menerima cinta palsu lelaki tanpa mengira ‘siapa sebenarnya dia?’ Adakah dia akan mulai mengusir banyak persoalan mengenai Erwan seperti benarkah dia belum berteman? Siapakah sebenarnya dia?,  sebelum menyerahkan cintanya?
            Terdengar pintunya diketuk seperti selalu. Panggilan namanya kedengaran perlahan, mengusik cuping telinga. Dia menjawab sekadar membiarkan alunan melodinya singgah ke gegendang telinga Eva.
        “Masuklah.”
            Tiada jawapan. Juga tiada tanda Eva akan menerobos masuk ke biliknya. Zara mengulangi. Kali ini dengan nada yang lebih kuat.
“Masuklah Cik Eva.” Tiada tanda Eva mendengar lagi.
Miss Eva, please come in.” Kali ini dengan nada yang lebih kuat.
Pintu terkuak. Wajah ceria Eva dengan senyuman terus menerpa Zara dengan soalan ‘cepu emasnya’ “Apa yang you rasakan tentang dia?”
            “Dia? Siapa?” Zara hanya berpura-pura bertanya. Dia menyedari persoalan itu ditujukan buat satu-satunya lelaki jemputan khas mereka, Erwan.
            “Eh kura-kura dalam perahu pulak…” Eva mencelah lagi.
            Zara hanya ketawa. Dia sedar, bunyi pantun pendek itu akan bersambung dengan ayatnya, “Pura-pura tidak tahu.”
            “You cakap pasal Zariff ke? Kan I dah kata, I tak ada feeling apa-apa? Apa lagi you nak tanya? Dia dah lama mati dalam fikiran ataupun angan-angan I.”
            “La. Bukan dia, I tau la, you dah tak angau, tak langau dengan dia tu. I cakap pasal orang la.” Eva mencebik.
            “Mana ada orang lain pulak?” Zara masih lagi mengelak daripada berbicara soal Erwan.
            “Bukan dialah.. si Erwan tu?”
            Zara mencebek bibirnya. Sengaja dia memperlakukan begitu dengan harapan si Eva tidak akan mengasaknya terus dengan perbagai soalan tentang Erwan.
            So, are you really want to know what I feel about him?”
            Ya la, cik puteri ooi! Tentulah nak tahu.. Ada rasa apa-apa tak? Love at first site, maybe?
            “Belum sempat rasa Eva. Baru pertama kali jumpa, hanya dapat mencium baunya. Baunya sedap, macam spice. Bau rempah. Boleh buat kari atau percik. Satu lagi, baru juga dapat lihat sahaja. Sempat belik-belik dan tilik-tilik saja kot. Okaylah kot kalau jawapan berteraskan dua pancaindera, telinga dan mata. Rasa, entahlah. Mungkin rasa akan rasa seperti kicap ke, pahit ke, manis ke, masam ke?.. Cinta?...” Belum sempat Zara menghabiskan ayatnya, dia terasa lengan kanannya dicubit dengan kuat.
            “Adui… sakitlah Eva. Ingat tangan orang ni besi ke?”
            “Hai! Ya la. Hari tu, I dengar you juga yang kata, tangan you besi, beruratkan dawai.”
            “Besi, besilah juga. Dawai, dawailah juga. Kalau sudah naik ketamnya yang sebesar lengan, sakitlah juga.” Eva hanya ketawa, dia sedar cubitannya tadi agak kuat sehingga meninggalkan kesan kemerah-merahan di lengan kanan Zara.
            “Belum kenal dia Eva, macam mana I nak jawab. Tengoklah macam mana? Macam disebut peribahasa, tak kenal maka tak cinta!”
            “Ya la. I faham. Ekpresi pertama macam mana?”
            “Hmm.. you tahu tak Eva, you ni kan lagi teruk daripada mak I. Sekurangnya mak I pun tak akan bertanya tentang seorang lelaki setelah banyak kali  I jumpa seseorang lelaki tau. Ini baru kali pertama. Entahlah Cik Eva.”
            “Tak kisahlah Zara… Teruk ke… sakit ke… Koma ke…I nak tahu juga. Apa perkataan pertama you bagi menggambarkan diri dia?”
            “Okay… okay.. Itu perkataan pertama. Yang kedua  paling penting pada I, dia tu tak sombong. You tahukan I paling tak suka kalau jenis orang yang menyombong diri. Angkuh. Ego. Dia seorang saja yang betul. Orang lain semuanya tak bagus.” Zara mengungkap perkataan yang acap kali dinyatakannya.
            “You tujukan pada siapa ni Zara. You rasa I dan Jeremy sombong ke?”
            “La. Sejak bila pulak yang you ni sensitif sangat ni. I tak tujukan kepada siapa-siapa. Realitinya begitulah. Mak I dah pesan, jangan meninggi diri. Allah tak suka orang yang ego. Orang yang ego sentiasa melihat kelemahan diri orang lain dan hanya fokus kepada kebaikan dirinya sendiri. Macam dia sorang je yang bagus. Orang lain semuanya tak bagus. Ada kelemahan.” Eva nampaknya bersetuju dengan kata-kata Zara. Dia mengangguk sambil ibu jarinya kepada Zara, menunjukkan sebagai tanda, baik atau bagus.
            “Apa tandanya kalau orang tu sombong ikut firasat you.”
            Zara berhenti sejenak. Dia sedang memikirkan perkataan yang sesuai bagi menggambarkan maksud perkataannya. “Sombong ni, contohnya kalau bercerita, melibatkan semua gerak bahasa tubuh.”
            “Okay. Bahasa tubuh! Body language lah ni. Macam mana pulak?”
            “Keningnya terangkat. Matanya tidak berkelip. Kepalanya ditegakkan, lehernya tegak, seolah meminta perhatian apabila bercerita. Nada suaranya meninggi, meminta pendengar memberi sepenuh perhatian kepada ceritanya sahaja, seolah hanya dia ‘yang tahu’.”
            Eva mengangguk kecil, “Tapi kawan…, apa bezanya jika sekadar berkongsi cerita?”
            “Kalau berkongsi, matanya berkeadaan biasa, nadanya rendah, Perkataannya kadangkala terhenti, seolah memberi jalan kepada orang lain berkata-kata. Ada pause. Cara duduknya tidak tegak, seolah berkeadaan santai. Keadaan biasa.”  Zara menerangkan kepada Eva, yang begitu tekun mendengar.
            Eva mengangguk lagi. “Setuju.” Dia menjawab perlahan. “Jadi you rasa Erwan tu tak sombong lah.”
            “Tak. Dari cara dia bercerita, dia sangat merendah diri. Cara dia bercerita lebih kepada dia berkongsi pengalaman mengembara. Apatah lagi, kita juga pernah pergi ke tempat-tempat tu.”
            “Ooo.. Jadi, dari satu segi, Erwan sudah dapat mata lah?”
            “Mata apa?”
            “Markah!” Eva menjawab sambil ketawa.
            Zara hanya ketawa. “Ingat kuiz ke?”
            “Habis you tak ada rancangan untuk menjadi kaya la?”
            “Kaya?”
            Kata-kata Eva menjadikan Zara terus merenung wajahnya, tajuk apa pulak ni. Agak tersasar daripada tajuk bicara mereka sebelum ini. Zara merenung kembali teman serumahnya. Eva yang memakai seluar panjang berwarna coklat dan berbaju t-shirt berwarna merah jambu, di tengah t-shirt bertulis, Penang terus ditenungnya. Dia pelik dengan soalan yang berbaur dengan tanda soal.
            “Maksud you?”
            “Ala, biasa la. Orang kayakan mesti sombong!”
            “Hello kawan. Pada ada disebut dalam mana-mana buku perundangan, mahupun buku ‘menjadi kaya dan ternama’ yang orang kaya mesti sombong. Kalau nak menyombong tak payah jadi kaya, yang papa kedana pun boleh sombong ke tahap gaban juga. Dia yang berbasikal contohnya melihat orang yang berjalan kaki sebagai miskin, dia kaya sedikit.”
“Ya logik juga. Orang kaya tak semestinya sombong. Orang biasa pun boleh menunjukkan sikap sombong.”
“You pernah dengar nama Mukesh Ambani kan?”
“Amitash Bachan, pernah lah dengar.” Eva menyampuk dengan ketawa besar.
 Zara terus bercerita. “Tak pernah dengar nama tu? Dia adalah jutawan India. Mukesh Ambani ni,  lelaki yang ke empat terkaya di dunia,  siap membina rumahnya  setinggi 37 tingkat lagi, bernilai lebih 3000 juta, masih boleh bersikap tidak sombong. Dia dikatakan hanya bersikap down to earth. Jadi sombong bukanlah satu pilihan wajib apabila menjadi kaya dan berharta.”
            “Ya lah ustazah. Faham. Moralnya, kalau nak menyombong, miskin pun boleh sombong, tak payah jadi kaya raya.” Mereka ketawa berderai bersama.’ Pandai juga si Eva ni bercakap macam orang Islam.’ Zara bermonolog sendiri.
            “Cerita-cerita kaya ni mengingatkan I pada Mak Amnah. Ibu mertua Kak Wulan. Keluarga Abang Kameel biarpun orang berada, mereka tu okay je. Tak ada langsung ciri-ciri sombong. Mereka sangat merendah diri. itu yang membuatkan I rasa sangat suka dengan keluarga mereka. Kata Mak Amnah yang I boleh ingat, hanya ilmu yang akan meninggikan darjat manusia, bukannya harta benda. Kalau tak berilmu, sebanyak manapun harta yang ada, masih tidak dikategorikan sebagai kaya.”
            “Betul I setuju. Keluarga I pun kata begitu. Kalau harta keluarga setinggi Gunung Everest pun, tak ada ilmu, lama-lama habis harta tu.”
            Zara mengangguk lagi. Fikirannya menerawang kepada Mak Amnah.
            “Kenapa pulak dengan you? Apa dalam fikiran you Zara?” Eva menyoal balik, dia pasti, terdapat sesuatu yang difikirkan dalam kepala temannya.  
“Mak Amnah. Sekarang kata Kak Wulan, dia tak berapa sihat. Risau sangat I dengan kesihatannya. Sekarang I nak tengoklah kalau ada pesanan Kak Wulan di fb.”
Belum sempat Zara  melihat message yang tertera di peti simpanan nya, dia segera disapa Eva, “Zara, jom kita mengintai wall Wan, kita tengok dengan apa yang ada di sana.” Perkataan wall  difahami Zara, bagi merujuk kepada pernyataan yang terdapat di paparan fb milik Ewan. Segera dia menekan ke perkataan profile, dan menaip di ruangan kosong di sana, dengan perkataan All-E-one iaitu nama samaran yang digunakan Erwan. Mereka sama-sama mengintai senarai panjang yang tertera di sana. Zara menekan klik di bahagian, info.
“Hai, perahsia je si Erwan ni, kosong je maklumat dia.” Zara segera melepaskan perasaan geramnya. Biasanya individu atau teman fb akan memasukkan maklumat ringkas agar teman-teman fb yang lain dapat mengenali diri seseorang atau latarnya. Zara hanya memandang kosong maklumat yang tertera di paparan informasi Erwan.
“Tu la, ada ke, hanya tulis, jantina, lelaki. Nama keluarga, saudara, relationship semuanya kosong.” Zara juga terasa sesak. Nampaknya tiada cara mudah untuk mereka memperolehi maklumat  tentang lelaki ini yang sudah bertukar menjadi ‘tajuk lelaki misteri’.
“Maklumat education and work pun kosong juga. Bahagian aktiviti pun tidak bertulis apa-apa. Agaknya, dia tak mahu orang lain mengetahui tentang dia tak? Apa sangat yang dia rahsiakan? Peliklah orang ni?” Tiba-tiba Zara disinggahi perasaan pelik terhadap Erwan. Tetapi dia mengerti sangat, Erwan yang berkawan rapat dengan Jeremy, tentunya mempunyai latar pendidikan, pengalaman yang baik sehingga membolehkan Jeremy cuba memperkenalkan kepada Zara. Mereka berdua bahkan banyak mengembara bersama.
“Macam ni, susahlah kita nak spy on him Zara?” Eva mencelah walaupun sejak tadi hanya berdiam diri sahaja.
“Itulah Eva, macam mana ya? Kita tengok, apa yang ada di paparan wall dia. Mungkin kita akan bertemu dengan klu!”
“Entah-entah dia yang jadi spy!”
“Spy.James Bond!” Eva menyampuk.
“Kalau Melayu bukan James Bond, tetapi Jebon.” Zara menghabiskan kata-katanya dengan ketawa. Perkataan Jebon ini mengingatkan dia ketika dirinya masih kecil lagi. Ibunya selalu mengugut akan meninggalkan dia di hutan di belakang rumah jika dia berdegil, supaya jebon akan menggigitnya.
Cuup Zara. Tak pernah dengar perkataan ni pun, Jebon tu apa benda?” Wajah Eva menggambarkan dia benar-benar tidak dapat memahami perkataan itu.
Zara hanya ketawa terus. “Bukan benda lah amoi. Jebon tu binatang, rupanya macam musang, tetapi kecil sikit. Kalau malam-malam, dalam hutan, dia akan berbunyi bising. Makanannya biasanya ayam, burung. Selalu curi ayam orang.”
“Hmm.. Ada ke? Betul ke?’
“Entahlah Eva. I pun tak tahu.” Zara terus menyambung ketawanya lagi.
“Cepatlah. Kata tadi nak spy wall Erwan!”
Segera Zara menggerakkan titikus komputer ribanya menuju ke perkataan wall, tertera banyak sekali tertera perkataan-perkataan hikmah. Dia menggerakkan paparan wall untuk mencari sebarang tajuk atau cerita peribadi seperti yang biasa dikisahkan di fb. Nampaknya, Erwan langsung tidak bercerita mengenai kisah peribadinya, jauh sekali memperkatakan tentang hal orang lain.
“Wah. You dengar I baca ni Zara, bunyi macam best giler.  Whether we ended-up, or just ended, as lovers; the real beneficiary of the gift of love is always the giver. In the end, the love that we give, is the only love that we keep. Semacam je bunyinya ni, dah jatuh cinta ke dia dengan you?” Soalan Eva seolah memancing di cuping telinga Zara.
 “Eh macam senang sangat dia nak jatuh cinta dengan I. You ni kan kadang-kadang bertindak macam orang tak sekolah tau. Jangan sekadar sepotong ayat, you sudah buat cerita yang dia angau satu badan dengan I. Tak ada mak ‘langau’ kalau setakat bertemu sekali. Jangan gosip yang bukan-bukan. Tak ada skandal tau! Nanti malu I tau.” Zara membela diri. Dia tidak mahu, kerana hanya sepotong ayat yang pendek, Erwan dikaitkan sudah jatuh cinta dengan  begitu mudah terhadap dirinya.
“Hah, tengok ni pulak, Everyone is a gifted, but some people never open their package. Wow, so sweet.” Eva membaca lagi perkataan yang tertera di wall fb All-E-one.
“Entah-entah dia sudah ada buah hati?” Zara sekali lagi menduga.
“Tak ada. I dah confirm dengan Jeremy. I tak buat nanya you la Zara. Memang sah tak ada gf.” Eva memujuk Zara terus, mencuba menyakinkan dia lagi tentang Erwan. Zara hanya tersenyum sendiri. Mereka terus membaca paparan yang terdapat di wall Erwan.
“You tengok ni Zara, satu lagi yang menarik, Confident' is when 'you' are in control; 'accident' is when 'god' takes over! Betul juga kata-kata dia. Keyakinan apabila kita yang dapat mengawal sesuatu perkara. Sesuatu yang luar biasa atau tidak terkawal, dianugerahkan Tuhan. I rasa dia ni geniuslah.” Eva terus bercerita tanpa diminta. Zara terasa jantungnya sedikit berdebar. Ialah, berutusan dengan lelaki yang agak berahsia menjadikan dirinya berada dalam status, ‘skeptis’, ragu-ragu sekali dengan keikhlasan Erwan untuk mengenali dirinya.
“Genius, mungkin. Dapat tengok dia pun macam orang terpelajar. Tapi I dah mula ragu-ragu Eva.”
“Ragu-ragu? Apa yang you ragu?”
“Dia macam perahsia sangat. Mungkin dia mempunyai pengalaman hidup yang sukar menjadikan dia sinis dan berahsia orangnya.” Zara mulai lebih merasa curiga. Keraguannya dengan sikap lelaki bertambah darjahnya. Perahsia! Entah apa rahsia yang tersembunyi sangat di sebalik sebuah nama itu. Erwan! Tanpa nama bapa! Tanpa nama ibu! Tanpa nama saudara! Hanya Erwan dan nama samarannya All E-One.
“You tengok ni Zara, ada lagi yang berbunyi intelegensia. Hmm.” Intelengensia mengingatkan Zara kepada Zariff Iskandar. Dia juga jaguh intelegensia! Tapi mengapa namanya tiba-tiba muncul kembali! Pelik!
Cuitan lembut di lengan Zara membawa dia kembali menatap wall Erwan. Kedua mereka sama-sama memandang perkataan yang tertera di skrin.


Bersambung di buku....

Bab 5: petikan 1


BAB 5 : SEINDAH PERTEMUAN
1
Bandar Perth seolah mengejek Kameel yang singgah lagi ke sini. Bayu yang bertiup dan mencium jasadnya dirasakan mengejek terus! Awan yang memayungi juga seolah menginjak senyuman sinis! Malah mentari yang menyinar pun terasa bagaikan mempersendakan akan dirinya! Kameel terasa diperolokkan oleh masa lalunya sendiri! Memori lama seolah menyiksa mindanya terusan. Dia kalah dengan cerita dukanya sendiri!
Sudah agak lama dia tidak mengenjakkan kakinya ke bandar penuh emosi ini. Segalanya kelihatan masih baru kepada Kameel! Masih Bandar Perth yang menganjur sepanjang Sungai Swan seolah mengejek lelaki ini dengan penuh pilu! Dia terasakan bagaikan seluruh bayu yang bertiup mengatakan, “Mel bodoh. Mel telah ditipu! Yang Mira tidak akan bertemu Mel lagi.” Kameel hanya duduk diam, di sisinya Bee yang sedang leka menyaksikan pemandangan di luar tingkap. Pandangan mata hati Kameel hanyalah kelam. Hitam. Kelabu. Tanpa  Yang Mira.
Kameel seolah masih tidak dapat melupakan Yang Mira. Walaupun dia masih berada di Perth, fikirannya seolah kelat. Bandar Perth dahulunya sering menjadikan hati gundahnya gembira, kerana di sini, adanya Jamie@Yang Mira@Jamilah. Dia seperti ‘Orang yang mabuk kepayang.’ Dia seperti tidak dapat mempercayai yang Jamilah, yang sekian lama dinanti, tiba-tiba di saat akhir garisan masa, tidak dapat muncul di Perth. Kata-kata akhir Bee seolah menyiksa dia. Berasak dalam fikirannya. “…tidak …” Perkataan-perkataan lain seolah tidak lagi penting. Membayangkan dengan satu perkataan, ‘tidak’ menjadikan seluruh tubuhnya lesu. Dia tidak pasti kenapa dia akan beraksi begitu! Dia bukan lagi lelaki dalam usia dua puluhan! Dia sudah menjadi bapa kepada dua orang remaja! Dia adalah lelaki matang yang sarat dengan inspirasi! Dia membiarkan mindanya dikuasai hatinya sendiri! Dia sudah ada Wulan sebagai ‘dewi asmaranya’. Mengapa dan kenapa dia memerlukan Yang Mira lagi!
Perth menjadi satu bandar yang menyeronokkan jasad Kameel suatu ketika dulu. Perth bagaikan ‘laman syurga’ yang menyatukan cinta. King’s Park, Botanic Garden, Sungai Swan, Pelabuhan Fremantle tentulah tidak akan sama tanpa Yang Mira. Hanya dia, akan membawa kerinduan terhadap Perth ini dan memberi makna!
So bagaimana Mel?” Soalan Bee membawa Kameel kembali semula ke alam realitinya. Alam fantasi barangkali lebih sejahtera kepadanya. Alam fantasi akan membawa dia kembali kepada Jamie. Kembali bermaya dengan merapatkan cintanya kepada Yang Mila kembali. Mereka menjadi satu kembali. Dia dan Yang Mira menjadi satu.
“Maksud you?” Kameel menyoal Bee kembali. Dia dapat merasakan ingatan dan kalbunya hilang di sebalik memorinya terhadap Yang Mila.
“Kita jadi ke nak ke  Darwin dulu esok.  Atau you nak rehat dulu, kita tunggu Jamie datang sini. Dia kata, kalau auntienya okay sikit, dua-tiga hari dia mungkin akan datang ke sini juga. You tak ada masalahkan, menunggu dua tiga hari lagi?”
No problem Bee. Not at all.” Kameel segera teringatkan Hilman, dia tahu rakan kongsinya di Kuala Lumpur akan dapat menguruskan syarikat dengan baik. Melihat potensi pasaran daging impot di sini adalah satu fardu kifayah untuk kesejahteraan umat Islam di Malaysia. Dia telah meneliti laporan dan informasi mengenai sebuah syarikat Malaysia di Darwin. Mereka bertiga mahu meninjau potensi pasaran dan perkhidmatan syarikat ini sebelum meneruskan hasrat mengimpot daging segar Australia ke Malaysia.
“Itu kalau keadaan di sana okay. Dia kata lagi, dia tak dapat berjanji. Tapi dia minta kita ke Darwin dulu. Lihat bagaimana potensi syarikat itu di sana.” Bee menerangkan kepada Kameel. Dia dapat menilai situasi aneh Kameel. Sebagai ahli perniagaan yang dianggap sudah berjaya, sepatutnya Kameel lebih kelihatan fokus. Dari air muka Kameel, Bee dapat mengagak Kameel agak keliru atau lebih dekat lagi, sadis! Wajah biasa jika dilihat dalam filem Malaysia, wajah hero yang ditinggalkan heroin!
Bee dapat merasakan banyak sekali fikiran nakal yang menerawang dalam minda Kameel. Mungkin, jasad Kameel dapat dilihat di sini, memorinya, emosinya entah menerawang jauh sekali.
“You bimbangkan Wulan ke? I’m sure she’ll be okay.” Sengaja dia menyakat Kameel. Dia sedar, mungkin bukan Wulan yang sedang sarat berada di fikiran Kameel. Seandainya benar Kameel bimbangkan Wulan, tentunya, Kameel tidak akan meninggalkan Wulan bagi meneruskan usahasama perniagaan mereka. Barangkali Kameel boleh meminta rakan kongsinya Hilman ke sini bagi bertemu Bee dan Jamilah.
“Thanks Bee. Wulan sudah okay. Ada adik I, Hani yang tengokkan dia. You fikir macam mana?” Kameel segera berfikiran positif. Mana mungkin ahli perniagaan sepertinya akan membiarkan jasadnya dikuasai emosi yang melemahkan dia! Mata sepet Kameel segera bertaut dengan sepasang mata Bee, yang seolah sama cara pandangannya. Agaknya darah Korea yang mengalir dalam setiap urat tulang-temulang Kameel menjadikan dia serasi dengan Bee Trise yang juga membawa genetik bangsa Cina dalam darahnya. Bukankah Korea dan Cina terdiri daripada satu rumpun darah yang sama?
“I rasa beginilah Mel. Kita bincang dulu. Tunggu sehari. Tengok apa keputusan Jamie. Kalau okay, kita tunggu dia datang. Kalau dia masih tak boleh datang dalam tiga hari ni, kita akan ke Darwin tanpa Jamie. Kalau ditangguhkan lama-lama, susah juga. Kita sudah pun berjanji dengan pihak Global.”
“You nak makan dulu ke, macam mana?”
“Tak apa Bee. Kita ke Hilton saja. I pun nak telefon keluarga dulu. Perlu bertanya tentang mak I. Wulan juga. Kita jumpa esok pagi saja. I’ll be ready by tomorrow.”
Dua puluh lima minit perjalanan daripada Lapangan Terbang Perth bagaikan tidak terasa. Hotel Parmelia Hilton di Perth terletak betul-betul bersebelahan dengan Convention Centre, sejajar di Jalan Mill. Perjalanan berkereta itu walaupun hanya mengambil masa 20 minit, terasa bagaikan sekurun lamanya. Masa seolah berhenti berdetik, pada detik, Kameel menerima khabaran, Yang Mira tidak mungkin menjejak bumi Perth lagi.
“Okay Bee. Kita jumpa esok pagi. You datang ambik I. My regard to your husband.” Kameel segera menghulurkan  tangan kanannya menyalami tangan kanan Bee. Senyuman segera bertaut.
Kameel segera mendaftarkan dirinya di kaunter Hotel Parmelia Hilton. Lantai marmar berwarna kekuningan cair keemasan, digabungkan dengan warna coklat pekat bercorak bulatan, segera  menarik pandangan mata Kameel. Lantai yang menggambarkan kemewahan ini bagaikan mengalukan kedatangan para tetamunya dengan berani. Berlatarkan lelangit hotel yang berwarna beige, dengan dilengkapkan kaunter berwarna keemasan yang gelap, dia bagaikan terpukau menyaksikan hotel ini lagi. Ruang lampu di bahagian tengah langit di rumah tamu ini bagaikan memberi ruang kecerahan yang mencukupi. Terasa tenang dan damai.
Agak lama juga dia tidak singgah ke hotel ini. Barangkali sudah dua tahun. Kali terakhir dia ke Perth, dia berada di hotel yang lain. Ternyata pengubahsuaian yang dilakukan di hotel ini, berjaya lebuh mengindahkan lagi Hotel yang bertaraf lima bintang ini. Segera bagasinya dibawa Bell Boy ke bilik Queen guest room. Segera Kameel membayar upah kepada pelayan lelaki tadi.
Dia meletakkan bagasinya dan memunggahkan baju-bajunya ke dalam almari. Dia menyelak langsir yang berwarna coklat, agar dia dapat menikmati pemandangan di luar sana. Dia segera beredar ke balkoni. Langit kelihatan cerah. Kumpulan awan berarak tenang di waktu petang di Perth. Berlatarkan langit biru, dia tiba-tiba terasa syahdu. Ternyata dia sanggup meninggalkan siisteri yang baru sahaja melepasi ‘maut’ takkala membawa zuriat dalam ruang falopiannya. Dia sanggup pula meninggalkan ibunya yang mengidapi penyakit Alzheimer. Dia sanggup juga meninggalkan kedua anak-anaknya, Ris dan Nina di bawah jagaan Hani, semata-mata dalam mengharapkan pertemuannya semula dengan Jamilah. Kejamkah dia? Agaknya dalam situasi ini, dia terlalu mengikuti kata hati! Dia tidak lagi rasional!Kameel terasa seperti bermain api! Tidakkah dia takut seandainya jarinya akan terbakar nanti! Atau lebih teruk lagi, hatinya bakal terbakar lagi! Pun begitu, dia berfikiran positif, tujuannya jelas, mereka bertujuan berkongsi perniagaan.
Dia mengintai jam tangan di tangan kanannya. Jam menunjukkan jam 4.45 petang di Perth. Juga 4.45 petang di Malaysia. Dia mendail telefon segera, berhasrat mendengar suara manja sang isteri. Panggilan bersahut.
“I dah sampai ke Perth. Lusa pagi baru akan ke Darwin.”
Suara lunak yang menyambut dan memberi khabaran tentang situasi di Malaysia bagaikan menghilangkan kekusutan lama yang bertakung dalam tambatan hatinya. “Alhamdulillah. Di sini semua okay. Abang jangan risau ya.”
“Wulan okay?”
“Okay bang. Jangan risau. Abang buat apa sahaja yang perlu. Hani ada di sini. Minggu depan baru dia bekerja.” Jelaslah semuanya kelihatan terurus dengan baik sekali walaupun ditinggalkan kira-kira 4162 kilometer atau 2248 batu notika. Wulan ternyata dapat menjaga keselamatan hartabenda, rumahtangga dan seisi keluarga dengan baik sekali peninggalannya. Benarlah seperti pepatah Joe Murray, “In marriage should a duet. When one sings, the other claps.” Wulan sentiasa menyokong dia tanpa mengira apa juga keputusan baik dalam perniagaan ataupun dalam kehidupan harian mereka. Fikiran Kameel sentiasa berhati lapang dengan sokongan padu isterinya.
“Ris dan Nina okay? Mak okay?” Kameel tiba-tiba teringatkan kedua anak gadisnya yang lincah.
“Baik sangat. Ris macam biasa bang, mahukan baju t-shirt yang berwarna biru…”
“I tahu, Nina warna merah.” Kameel segera menyampuk, dia faham benar dengan warna kesukaan anak-anaknya.
“Wulan?”
“Apa-apa yang abang beli tentulah sesuatu yang elok pada Wulan.” Kameel terpampan lagi. Sejak perkahwinan mereka, Wulan semangnya tidak pernah meminta yang lebih-lebih. Dia merupakan isteri yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmatNya.
“Nanti Wulan kirim salam dengan Hani, Ris dan Nina ya. Peluk cium I untuk mak ya. Jaga diri ya, jangan buat kerja-kerja berat, Wulankan baru sahaja dibedah.”
“Ya bang, Insya-Allah. Janganlah abang risau.” Panggilan ditamatkan. Agak aneh mendengar Wulan memanggilnya ‘abang’ sedangkan dia sendiri masih membahasakan dirinya ‘I’ dan ‘you’. Pada Kameel, panggilan ‘abang’ agak klasik dan hanya sesuai digunakan di kampung-kampung dan bukannya kepada tokoh korporat sepertinya.
Perasaan bersalah terhadap Wulan semakin menghimpitnya. Dia semakin bimbang untuk bertemu Jamilah kerana dia khuatiri perasaan ‘asmara’ lamanya itu masih kekal bersama dirinya! Apa akan terjadi jika Jamilah juga menyambut ‘tepukannya’ nanti! Bersediakan dia menghadapi dua dunia cintanya? Cinta terhadap Jamilah? Dan kasihnya terhadap keluarganya? Sanggupkah dia mengkhianati kasih terhadap Wulan?
Malam yang meremang senja dan bertukar menjadi malam yang tua, menjadikan dia rasa perlu merehatkan dirinya bagi menikmati makan malamnya di Adelphi Steakhouse, yang terletak di tingkat bawah Hotel Hilton ini. Wajah lelangit dan lantai yang berwarna merah bata bagaikan menyegarkan tubuhkan yang kelesuan. Kameel tidaklah mengalami kepenatan teruk dalam penerbangan memandangkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Perth hanya mengambil masa lebih kurang lima jam lebih. Dia lesu mendengar khabar yang Jamilah mungkin tidak dapat hadir ke sini dan seterusnya ke Darwin! Mindanya menjadi penat kerana kecewa! Jiwanya menjadi tandus kerana merana mendengar khabaran itu! Jasadnya merana kerana gadisnya itu tidak hadir sebagaimana yang diimpikan.
Dia melabuhkan punggungnya, untuk duduk di kerusi kayu yang hanya dilengkapi dua bangku duduk. Kain putih gading sebagai alas meja kayu empatsegi itu bagaikan menaikkan seri bangku dan kerusi itu. Dia duduk dengan selesa sambil membuka senarai menu yang baru diberikan kepadanya. Telefonnya mendayu berbunyi lagi. Lagu Elvis, Love me tender, berulang kali menyebut,
Love me tender,
love me sweet,
never let me go.
You have made my life complete,
and I love you so.

Love me tender,
love me true,
all my dreams fulfilled.
For my darlin' I love you,
and I always will.

Kameel membayangkan yang Wulan menghubunginya. Mungkin ada
khabaran penting yang perlu dijelaskan kepadanya. Mungkin juga panggilan penting dari Hani. Daripada paparan telefonnya dilihatnya, bertulis Bee. Dia hanya dapat mengagak, pastinya Jamilah tidak akan dapat hadir bersama-sama pertemuan mereka kali ini. Dia sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Bersedia sekali memujuk hatinya yang kecewa.
            “Mel, you di bilikkah?”
            “Tak. Di Adelphi Steakhouse. Baru nak dinner. Any good news?”
            “Not just a good news. A  better news. She is coming  at noon.”
            Kameel tergamamm lagi. Mimpinya hampir menjadi realiti! Dia bungkam. Dia belum bersedia menghadapi berita segembira ini.
            Mel, Are you there?”
            “Yes, I am.”
            “Good. I’ll see you in the morning. We catch her at the airport at afternoon.”
            “Okay.” Jawapan yang pendek. Ringkas. Tanpa keliru. Tanpa sedu. Ayat yang menghiburkan lelaki empat puluhan yang masih memburu cinta Jamilah! Hanya dia! Sang perempuan yang pernah menjual cinta murahan di Perth!

Bab 4: petikan 1


BAB 4 : DUNIA DERITA
1
Kameel berasa serba salah terpaksa meninggalkan isterinya, Aini Melati @ Wulan takkala dia masih terlantar di wad di hospital sehari dua lagi. Pun dia akur, sebagai CEO sebuah syarikat yang mempunyai lebih 100 orang staff, dia tahu banyak sekali impian individu-individu yang bergantung harapan dengannya. Keupayaan dia mengasingkan masalah emosi bakal memberi keuntungan ekonomi kepada syarikat, sekaligus dan akan memberi hasil yang positif untuk pekerja. Keuntungan syarikat dan perniagaan memberi banyak peluang ekonomi kepada kakitangan lainnya.
Dia harus berani menempatkan keperluan syarikat, walaupun terpaksa mengorbankan masanya untuk keluarga. Dia harus meninggalkan keluarga dalam menguruskan perjanjian antara syarikatnya dengan sebuah syarikat di Perth, dalam membekalkan daging segar ke Malaysia.
Terbayang wajah Wulan yang sedang lena tidur. Wajah bujur sireh, dengan kening lebat tu bagai bermimpi pahit, dengan kerutan di dahi ketika tidur. Agaknya, realiti mimpi yang bagaimanakah sedang dia alami?
Masih dia terasa bagaimana jantungnya berirama kencang dua malam lepas, menyaksikan Wulan terbaring di hadapan pintu kamar beradu mereka. Ritma jantungnya seolah-olah berpalu dengan irama rock yang kuat. Peristiwa itu masih terbayang di hadapan matanya.
“Wulan, Wulan,” berulang dia memanggil nama isterinya. Kelopak mata Wulan terus tertutup rapat. Fikirannya segera berfikir secara rasional, segera dia mendukung Wulan ke paras bawah rumah dengan berhati-hati. Dia meletakkan isterinya dengan perlahan, ke atas sofa kulit berwarna kuning lembut. Telefon genggamnya segera didail, mendapatkan adiknya Hani. Dia mengharapkan agar Hani tidak keluar ‘terbang’ ke mana-mana. Bertugas sebagai pramugari sambilan, menjadikan dia kebiasaannya tidak ‘terbang’ setiap hari. Jadual penerbangan Hani bergantung kepada berapa kerap dia mahu meneruskan penerbangannya bagi setiap shif sendiri. Jam rolex di tangannya, dipandang perlahan. Jarum pendek jam sudah menunjukkan hampir kepada waktu menghampiri tengah malam.
Kedengaran suara Hani di hujung gagang.
“Hani, abang ni. Kak Wulan pengsan di bilik. Abang nak bawa ke hospital. Please come to my house.” Suara Kameel kedengaran resah sekali. Tidak pernah Wulan mengalami kesulitan kesihatan sehingga mendesak sebegini. Dia juga bimbang meninggalkan keluarganya terutama ibunya hanya bersama Sumarni.
Kameel segera membawa isterinya ke hospital berdekatan. Dia tidak berani membangunkan Sumarni. Dibimbangi ibunya juga akan terjaga dan akan membangkitkan suasana panik kepada mereka semua. Dia percaya, adiknya, Hani akan datang dalam jangkamasa kurang limabelas minit dan akan menguruskan anak-anaknya di rumah, seterusnya ke sekolah, malah ke hospital sekiranya perlu.
Kata-kata doktor, seolah menyentap jantungnya sekali lagi.
“Isteri encik Kameel sebenarnya mengandung. “
Perkataan doktor tadi menyedapkan perasaannya. Kemungkinan, situasinya yang hamil itu menjadikannya tidak sedarkan diri secara tiba-tiba.
“Kandungan Puan Aini ini,  digelar sebagai kandungan ektopik.” Perkataan pengakhiran ini, tidak dia fahami. Wajah doktor wanita yang dalam lingkungan dua puluhan, ditatap lagi. Tag nama yang dilekatkan di ‘kot putih’ doktor itu dibacanya dalam hati perlahan. Bertulis Dr Suhaiza. Barangkali, wajahnya lebih menampakkan dia dimonopoli oleh figura berketurunan Thionghua, tetapi dengan matanya yang bermata galak, mungkin mempunyai campuran darah bangsa lain dalam setiap urat sarafnya.
Doktor wanita yang masih muda itu, barangkali dalam pertengahan usia dua puluhan agaknya memahami sorot pandangan mata Kameel yang tajam. Kameel tidak memahami maksud kandungan  ektopik  barangkali.
“Boleh doktor terangkan apa maksud kandungan ektopik?” Kameel berterus-terang setelah melihat Dr Suhaiza hanya membisu mengenai Kandungan ektopik yang dialami Wulan.
“Kandungan ektopik bermakna, kandungan itu tidak terjadi di tempat yang sepatutnya.  Embrio melekat atau implantasi dan membesar di luar kawasan dalam ruang rahim. Dalam kes ini, ianya berlaku di saluran fallopian kiri Puan Aini. Apabila ia mula membesar, saluran itu akan mulai membengkak dan akan menyebabkan kesakitan. Tiada cara lain yang boleh kami lakukan Encik Kameel melainkan pembedahan dan terpaksa menutup saluran fallopian kiri Puan Aini.”
“Menutup saluran fallopian?”
“Ya. Prosedur ini kami namakan sebagai Prosedur salpingectomy iaitu saluran fallopian yang tersumbat dan membengkak itu terpaksa dibuang bagi mengelakkan ianya membengkak dan menyakitkan pesakit. Lagipun kandungan ektopik ini tidak akan mendatangkan keuntungan kepada pesakit. Lama-kelamaan saluran falopian ini akan membengkak dan akan pecah begitu sahaja. Saluran ini tidak akan dapat menampung membesaran fetus yang berlaku di situ.”
Kameel agak tergamam mendengar penjelasan Dr Suhaiza. Dia tidak pula pernah menduga yang isterinya hamil. Dalam benaknya berkata sendirian, “Mengapa pula Wulan merahsiakan kehamilannya?”  Mungkin dia tidak sedar dia mengandung? Atau aku yang barangkali tidak memberi dia masa untuk berterus-terang? Kameel segera berfikir tentang hubungan komunikasinya bersama Wulan. Masa mereka bersama agak terbatas. Dia terlalu sibuk dengan dunia perniagaannya sahaja. Dia terlalu sibuk dalam memburu cinta Yang Mira! Dia terlalu sibuk untuk menjadi si pungguk! Dia terlalu sibuk dalam memburu bulan yang biru!
Kameel segera mengangguk setelah mendengar penjelasan doktor itu tadi. Kameel diminta duduk sebentar di kerusi bersebelahan katil Wulan sementara menunggu untuk menantangani borang membenarkan pembedahan dilakukan kepada isterinya. Kebiasaannya pesakit akan menandatangi borang tersebut sendiri jika mereka boleh melakukannya sendiri. Memandangkan Wulan masih lagi dalam keadaan tidak sedarkan diri, Kameel sebagai waris terdekat akan menandatangi keizinan bagi pihak isterinya.
Pintu bilik seperti diketuk, Kameel mengangkat wajahnya memandang ke arah pintu. Seorang doktor perempuan muda, bertudung merah jambu segera masuk ke bilik Wulan.
“Assalamualaikum, saya Dr Amy Hezrin yang akan melakukan pembedahan ke atas Puan Aini. Dijadualkan dalam masa dua jam lagi. Encik Kameel perlu menandatangani borang pembedahan ini.”
Kameel difahamkan kehamilan ektopik merupakan situasi yang agak membahaya jika dibiarkan, kerana bukan sahaja kehamilan ini berlaku di tempat yang ‘salah’ malah pesakit akan mengalami kesakitan di bahagian perut atau pinggang berulang kali sehingga boleh membawa kepada masalah pitam atau tidak sedarkan diri. Dia segera menandatangani borang yang diberikan oleh Dr Amy tadi.
Segera dia mendail nombor pejabatnya, setiausahanya patut diberitahu perihal yang berlaku kepada Wulan@ Aini Melati. Sekurangnya segala urusan yang berkait pejabat akan dapat diuruskan oleh rakan kongsinya, Faiq Hilman.
“Lia, Kameel di sini. Kak Wulan di hospital. Tolong beritahu Encik Hilman agar uruskan mesyuarat pagi ini. Saya sudah telefon dia malam tadi. Takut dia terlupa saja. Tapi urusan ke Australia tu dua hari lagi tu, I akan uruskan.”
“Okay bos. Encik Hilman ada beritahu tadi. Puan Aini dah jalani operasi ke belum?”
Jantung Kameel agak bergetar mendengar perkataan ‘operasi’. Kali terakhir Wulan menjalani pembedahan adalah lapan tahun lepas, bagi melahirkan Nina yang sudah pun menjangkau lapan tahun usianya. Dia mengharapkan urusan pembedahan ini akan berjalan lancar  seperti mana pembedahan sebelumnya.
“Belum lagi Lia. Mungkin sejam dua. Hari ini saya akan tunggu, selepas ni saya akan minta Hani menunggu Aini di sini.” Kameel menerangkan lambat-lambat kepada Amelia, setiausahanya.
“Ambillah cuti bos. Puan Aini kan isteri bos. Kalau bos cuti sehari dua pun tidak mengapa. Pastikan dulu Puan Aini okay. Kalau mahu minta Encik Hilman ke Australia pun, saya kira okay juga.” Kata-kata setiausahanya, Amelia, memang masuk akal juga. Dia kan CEO pejabatnya sendiri, tentulah dia boleh mengambil cuti sebanyak mana yang diperlukan. Tetapi menolak peluang atau menggantikan orang lain untuk ke Australia, sesuatu yang tidak boleh digalang-gantikan. Hanya ini peluang Kameel untuk bertemu Jamilah, itu pun jika Jamilah bersedia untuk bertemu dengannya.
“Terima kasih atas keperihatinan awak,  Lia. Saya akan cuti hari ini. Insya-Allah, esok saya akan masuk pejabat. Lagipun pembedahan hari ini, esok dan lusa, Aini akan berehat saja. Lepas tu, dia akan balik ke rumah. Kalau ada apa-apa yang penting, telefonlah saya.”
“Okay Encik Kameel. Jadi saya perlu sediakan dokumen untuk dibawa ke Perth nanti?”  Perkataan Perth daripada bibir Lia seolah mengembalikan nostalgia kepada Kameel. Perth seolah mengubat luka dan parut lama antara dia dan Jamilah.
“Ya. Sediakan dokumen tu. Nanti saya akan minta Encik Hilman menghantar ke hospital ni. Saya akan tunggu sehingga petang nanti. Malam ini saya akan minta Hani menunggu Aini di sini.”
“Hmm bos, nak saya hantarkan bunga dari pejabat?” Soalan Amelia seolah menggigit hujung telinga Kameel.
“Bunga?  Tak payahlah. Hantar kad dan buah-buahan, bolehlah. Bunga tak begitu praktikal, tak boleh makan pun.” Kameel menggeleng kepalanya perlahan. Nasib baik Amelia bertanya dulu, kalau dihantarnya sejampak bunga ke hospital ini, bukankah membazir namanya. Sejambak bunga akan hanya kelihatan menarik untuk ditonton dan dihidu. Buah-buahan bukan sahaja nampak cantik bagi santapan mata bahkan juga sedap menjadi santapan pesakit.
“Okay. Ialah bos. Salam untuk Puan Aini ya. Kalau senang nanti, esok petang, saya akan melawat Puan Aini.” Lia menghulurkan perkataan yang menunjukkan simpatinya kepada isteri Ceonya. Dia simpati sekali akan nasib yang kurang baik yang berlaku kepada isteri Kameel, Wulan yang dikenali rapat sekali. Wulan bukan sahaja seorang isteri yang baik, malah sangat merendah diri dan prihatin sekali akan nasib semua pekerja di pejabat Kameel.
“Insya-Allah. Saya pun tak pasti bila dia akan sedar kembali. Mungkin, esok pagi atau tengah hari.” Kameel menyudahkan ayatnya.
Butang penamat ditekan perlahan. Kameel menyorot pandangan matanya melihat katil yang membawa Wulan ditolak menuju ke lorong di hadapannya, barangkali menuju ke bilik pembedahan. Dia memandang sayu sambil tersenyum kepada dua orang jururawat yang membawa isterinya. Dalam hatinya dia berdoa terus, “Ya Allah, selamatkanlah Wulan, isteriku. Kami masih memerlukan dia dalam hidup kami. Aku masih memerlukan dia dalam hidupku, hidup anak-anak kami.”

Bab 3: petikan 1


BAB 3 : ZARA ORKHID BIN DESA
1
Sur l’oreiller une larme
Dans mon souvenir un drame
Tout ce qu’il m’a laissé
Un pas que l’on croit entendre
Une voix que l’on veut surprendre
Tu sais c’est du, du passé

J’m'en fous
J’ai pas besoin de toi
Pas besoin de tes bras
Ton image reflète ce que j’aime pas
Quelque soi les recourt, les appel au secours
Surtou ne te retourne pas
Cours cours loin
Le chemin est long
Avant qu’une autre te prenne la main

            Irama lagu dan lirik lagu  J'ai Pas Besoin De Toi, Lagu daripada Bahasa Perancis ini bagaikan menggolek rasa cinta di hati. Aku menggerakkan bibirku menyanyikan lagu ini mengikut rentaknya secara perlahan. Sama seperti lagu-lagu dalam versi bahasa lain dunia, irama lagu cinta membakar jiwa dan semangat bagaikan menghangatkan rasa kedinginan di musim dingin ini.
Cuaca pagi ini indah sekali. Awan bersemarak beralun dengan irama yang perlahan. Tidak alam lagi musim dingin akan berakhir, aku melepaskan lelah dengan perlahan.
            Perasaan cinta ini, walaupun di mana sekali kita berada, jauh di mana pun pelusuk benua dan di hujung dunia, perasaannya masih sama. Ingatan cinta itu pastinya masih sama. Serupa. Detik masa yang berlalu selalu menjadikan peristiwa atau suatu momentum kaku dan beku. Jika hanya menjadikan kita alpa, dengan setiap saat yang selalu memisahkan kita dengan diri kita sebenarnya. Cinta sentiasa mengajar manusia bermimpi. Cinta yang mengajar kita supaya berimaginasi. Cinta seolah menipu perasaan manusia. Kita berada di ambang mimpi. Fantasi. Dan aku tidak akan mengejar cinta. Hanya ada masanya aku rasakan cinta itu sering menghambatkan aku. Melemaskan aku. Sendiri.
            Membayangkan seorang gadis dari pulau kecil, Tuba, sekadar pinggiran di sebuah pulau di negeri Kedah dapat bertapak di sebuah pulau besar yang dikongsi bersama negara Perancis, Jerman, Sepanyol dan puluhan negara lainnya. Pulau ini malahan dikongsi bersama negara Eropah, negara-negara Afrika, negara-negara Timur Tengah dan negara Asia. Tiba-tiba merasakan diriku cukup kerdil di bumi Allah atas segala kesempatan yang diberikanNya untuk meneroka alam lain yang cukup luas terbentang. aku, gadis kecil di benua Eropah yang besar! Kerdil! Cukup kecil!
Diari yang lebih dikenali dengan nama ‘jurnal’ di Barat, sudah seminggu tidak kubuka, kubelek terus. Sudah lama tidak kucatat momentum yang berlaku di bumi Vannes ini. Bersaing dalam dunia milineum ini, walaupun kemajuan teknologi menjadi satu keperluan, aku masih juga kadangkala mengekalkan ‘tabiat’ lama, seperti yang diungkapkan oleh Kak Wulan. Aku lebih suka mencatatkan bisikan emosiku ke dalam diariku. Kucatatkan mengikut teknik lama, ditulis tangan dengan sebatang pen. Catatanku kadangkala berupa pantun empat rangkap, kadangkalanya hanya dilengkapkan dengan dua baris pantun yang mudah. Sesekali aku catatkan atau tampalkan dengan poskad yang aku terima daripada teman-teman…
Catatan terakhir, bertulis, 22 Feb, menerima sepasang kebaya bersulam, kain sutera Terengganu daripada Kak Wulan.
Kad sempena ulangtahun kelahiranku, dibelek terus. tulisan yang halus, condong ke kanan, jelas menggambarkan keperibadian Kak Wulan yang tegas, tetapi sangat bertolak ansur orangnya.
Catatannya yang dimulakan dengan pantun dua kerat, menggelikan hatiku.
Dek Zara, Pecah kaca, pecah gelas,
                  lepas baca, harap balas.

Maksud pantun itu lebih kurang sama dengan pantun dua kerat yang biasanya aku tulis di poskad yang dikirimkan kepadanya. Mataku terus melirik kepada kepada ayat-ayat yang menjadi penyambung kad istimewanya.

Zara, semoga ulangtahun yang hanya disambut setiap empat tahun ini akan menjadi ulangtahun yang istimewa. Semoga Allah akan permudahkan Zara bertemu insan soleh yang akan menyintai adek sehingga ke akhir hayatmu.

Sayang, Kak Wulan.

Pipiku terasa basah dengan air mutiara yang terasa suam di celahan hidungku. Walaupun kata-kata di kadnya hanyalah kata-kata biasa, yang sudah ‘lali’ dan acapkali diluahkannya dalam surat dan poskadnya, tetapi setiap bait ayatnya sentiasa menjadi ‘sumbu’ kepada  ‘nyalaan’ airmataku. Sehelai kebaya biru laut yang bersulam bunga teratai di gigi kebaya labuh tetapi kelihatan longgar sekali dengan tubuhku, setelah aku acukan ke tubuh kecilku. Bunga sulaman kecil yang indah, berjahit rapi, berselang seli berwarna emas dan kekuningan membangkitkan seri kain kapas.
“Kak Wulan, Kak Wulan. Puaslah adek kata, tak payah hantar kebaya, bila pulak mahu dikenakan kebaya ni. Sekarang pulak, musim sejuk.” Aku bercakap sendiri. Aku tahu, Kak Wulan tentunya menjahit baju kebaya ini sendiri. Sudah lama dia berangan-angan untuk membuka butik sendiri, pun begitu, dia tidak pernah menyuarakan hasratnya kepada abang Kameel, mahu pun keluarga mertuanya.
Agaknya, Kak Wulan cuba menjadikan kebaya nyonya ini sebagai hadiah harijadiku yang hanya akan kusambut setiap empat tahun sekali. Cuma, hadiah tersebut tiba lebih awal daripada jangkaan Kak Wulan. Aku sedari baju kebaya nyonya  ini dijahit dengan penuh rasa kasih sayang oleh Kak Wulan sendiri. Tiada bingkisan yang jauh lebih baik dibandingkan dengan hadiah daripada hati sendiri dengan  penuh rasa kasih sayang.
Pintu berwarna coklat samarku kedengaran diketuk berkali-kali. Mesti, teman serumahku, Eva. Auntie Jenny, tuan rumah kami jarang mengetuk pintu sedemikian rupa. Lagipun sudah menjadi tradisi tuan rumah tidak akan mengganggu privasi penyewanya.
“Masuklah Eva.” Eva segera merobos masuk ke bilikku dengan senyuman manisnya. Wajah kecinaannya masih jelas walaupun dengan sepasang matanya yang agak besar, berbeza sekali dengan situasi yang sinonim dengan kebanyakan bangsa thionghua yang lain. Pipinya yang gebu, berkulit putih bersih, dengan potongan rambut ala ’baby doll’ sering menjadikan dia sebagai bahan usikanku. Dia sering aku namakan sebagai ‘Eva, the sweet doll’. Disebabkan sudah terlalu biasa dengan gelaran itu, dia seolah tidak kisah lagi dengan panggilan itu. Bibir kecilnya yang nipis dan berwarna kemerahan itu, paling menarik aku kira, menandakan keserian yang begitu terserlah kepadanya.
“I bawa you coklat panas.” Mug yang ditatang dengan talam kecil segera diletakkan di hadapanku. Bersama di dalam talam itu adalah sepiring biskut berwarna coklat keperangan.
“Terima kacih.” Sengaja bercakap pelat mengusiknya.
Je t'aime à la folie,” sengaja dia memperolokkan aku dengan Bahasa Perancis yang bermaksud dia akan lakukan segalanya untukku.
“Cukup-cukuplah Eva dengan bahasa France ni. I dah rindu dengan Bahasa Malaysia.” Jawabku sambil ketawa. Jauh di sudut hatiku, aku lebih suka kalau golongan ‘pria’ yang menyebut ayat itu tadi kepadaku. Tentunya ayat yang ringkas tadi berbau lebih ‘romantis’. Romantikus sifatnya!
“Okay, tuan puteri.” Disambut ketawa kembali.
“Hai, tiba-tiba berbiskut Eva. Macam pelik je. Ada apa-apa rancangan yang I tak tahu?” pelik, sebab pada kebiasaannya, dia tidaklah serajin seperti hari ini.
“Hai, takkan rajin pun tak boleh?”
“Bukan tak boleh sayangku, cuma pelik sikit. Terima kasih sangat. Memang best mengena minuman panas ni, dan biskut, dalam kesejukan macam ni.” Segera tanganku mencapai sekeping biskut di hadapan kami, diletakkan di meja kecil di tepi meja kerjaku. Rasa biskut itu, agak luar biasa, terasa bagai ada perasa halia di dalamnya.
“Ada halia ke?” Belum sempatku menjawab soalan tadi, dia terus mengasak satu soalan lagi.
“Sedap tak?” Soalannya seolah memancing satu keputusan besar.
“Ada halia ke? Macam ada rasa halia?” Sekali lagi aku bertanyakan dia. 
“Sedap tak? Sedap tak?” Dia bertanya lagi. Mengasakku lagi.
“Sedap.”
“Biskut halia, mestilah ada halia. Tapi I pakai serbuk halia je.” Eva menjelaskan tanpa memerlukan soalan dariku.
“Hmm. Memang sedap. Rasanya lain macam. Tapi sekali rasa, mahu rasa lagi. Auntie Jenny tak ada ke?”
“Tak de. Agaknya keluar ke mall.” Auntie Jenny yang kami maksudkan adalah tuan rumah di mana kami menyewa ini. Rumah berloteng yang mempunyai empat bilik ini kami kongsi bersama dengan tuan rumah, sepasang suami isteri berbangsa Perancis. Sepasang orang tua yang mengamalkan sifat tradisional Perancis dengan sepenuhnya tetapi sangat bertoleransi terhadap kami. Kedua bilik kami digabungkan dengan loteng di bahagian tengah, dan loteng dijadikan pejabat untuk kami berkerja. Bilik tidur hanyalah untuk tidur dan barangkali, berangan.
Jeremy is coming. Not today, but he’s coming.” Eva kelihatan ceria menceritakan perihal teman lelakinya yang berada di London.
Oh, your Mr JL.” Kami membungkam ketawa bersama. Dia tahu sangta mengapa aku menggelarkan temannya itu Mr JL, kebetulan nama penuhnya adalah Jeremy Loh. Kadang-kala ada masanya aku menggelarkan Eva, Eva from the block, bersesuaian dengan gelaran ‘Jlo’ dan ‘Jenny from the block’ yang diberikan kepada Jennifer Lopez suatu masa dahulu apabila dia tengah hangat bercinta dengan Ben Afleck.
“Oh, Padanlah beriya benar buat biskut. Your Mr Jlo nak datang.” Fahamlah aku dengan perilaku dia yang tiba-tiba menjadi rajin.
“I test dulu buat biskut ni, jadi ke tak!”
Oo, testing. Okay for me. Should be okay for Mr Jlo too.”
Dia menyambung ketawa. Agaknya senang hati dengan pujianku, dan mungkin membayangkan kedatangan Jeremy nanti. “Tapi kan, depan dia, you jangan cakap Jlo tau, nanti marah dia pulak. You tahu Zara, I tak suka musim dingin ni. Sejuk, seram dibuatnya. Tapi duduk bersama di ‘arm chair’ ini, melihat hujan salji, satu kenikmatan tau.”
“Hmm ya.. merenung tingkap, melihat keputihan salji, hati pun terasa dingin sama.” Aku turut bersetuju dengan pendapatnya. Merenung sebatang pokok pain yang kering dan diliputi salji yang memutih, hatiku merasa dingin sama, cuma kenangan antara Kak Wulan, Ris dan Nina yang menghangatkan memoriku ketika ini, bersama juga kubawa ke Vannes ini kenangan indah keluargaku di Tuba ke sini.
“ You selalu kata hatiku yang dingin. Kenapa ya? You ada buah hati tak Zara?”
“Hah, buah hati.” Geli hati sekali mendengar perkataan buah hati.
“Ya, kekasih.”
“Kekasih!” Perkataan itu membuatkan aku tersedak. Perkataan ini sebenarnya jauh sekali menggelikan hatiku. Dia masih terdiam menunggu saat aku membuka bibirku.
“Dua-dua pun tak?” Aku menjawabnya lambat-lambat.
Aku hanya tertawa lagi. “You tak Eva, bukan kata buah hati, ‘putik hati’ pun belum ada lagi. Aku hanya terdengar dia mengilai ketawa.
“I kenalkan you nak tak? Semoga dengan perkenalan ini, you akan belajar mengenali ‘putik hati’ dan kemudiannya ‘buah hati’.”
“Hmm….” Aku hanya mendiamkan diri. Lucu juga mendengar perkataan ‘putik hati’ yang diulang berulang kali.
“Come on girl. Don’t pause..” Dia mulai mendesak.
“Okay, tapi jangan paksa I tau. I tengok dulu.” Ulasku. Aku tidak mahu hal ini menjadi satu rentetan perjanjian yang menyusahkan kedua-dua belah pihak nanti. Aku tidak mahu komitmen yang merungsingkan.
It’s more than happy to me.” Dia membalas.  Aku hanya memandang wajah senyumnya. Entah mengapa keputusanku yang hanya bersetuju untuk menilai lelaki yang akan diperkenalkan kepadaku menjadi satu keputusan yang menyeronokkan kepada dia. Entahlah. Di luar, salji masih memutih, seputih hatiku yang belum disentuh cinta!